Malaysia Dateline

Taufan Ian mungkin paling buruk dalam sejarah Amerika Syarikat, angka korban terus meningkat

Taufan Ian yang membantai Amerika Syarikat (AS) meragut sekurang-kurangnya 52 nyawa dengan angka korban yang terus meningkat, lapor ABC News hari ini.

Namun, NBC melaporkan angka kematian sudah mencecah 77 orang, manakala CNN pula menyebut 70 nyawa melayang.

Angka berbeza itu ekoran belum ada angka kematian rasmi diterbitkan pada peringkat negeri mahupun Persekutuan setakat ini, dipetik Agensi.

Taufan Ian dikatakan mengakibatkan kerugian sehingga AS$47 bilion (RM217.9 bilion).

Taufan Ian membadai Carolina Selatan pada petang 30 September lalu selepas ribut raksasa itu menyerbu pertama kali AS pada 28 September di pantai barat Florida sebagai taufan Kategori 4.

Angin ganas mencecah 150 mph itu menghancurkan ratusan unit kediaman.

Taufan Ian membawa malapetaka seperti ribut, hujan lebat dan tiupan angin yang memusnahkan serta berisiko mendatangkan banjir sama ada di pesisir pantai Florida dan kawasan pedalaman.

Banjir akibat Taufan Ian telah merosakkan ribuan kenderaan di Florida.

Sementara itu, Presiden AS, Joe Biden, berkata Taufan Ian berkemungkinan antara yang paling buruk dalam sejarah negara.

“Kita berada pada permulaan untuk melihat skala kemusnahan. Ia memerlukan berbulan-bulan, malah bertahun lamanya untuk membina semula,” katanya di Rumah Putih kelmarin.

Baca juga Membisu 1,000 bahasa selepas diminta audit, jangan hulur sedekah pada NGO yang 90% masuk poket sendiri

Baca juga Jual dan buat air ketum di rumah, lelaki tempatan ditahan