Malaysia Dateline

Tawar RM1.5 bilion, adakah Jho Low cuba merasuah kerajaan Malaysia?

Tindakan menawarkan RM1.5 bilion kepada kerajaan Malaysia, adakah Jho Low cuba untuk merasuah dengan begitu rendah sekali anggapannya terhadap sistem kehakiman negara ini sehinggakan semuanya boleh dijual beli, soal Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) SPRM, Hassan Abdul Karim.

Bagaimanapun dengan keputusan yang diambil oleh Peguam Negara Malaysia, Tan Sri Idrus Harun dan pegawai SPRM yang pada akhirnya membatalkan siri perundingan dengan peguam Low Taek Jho (Jho Low) yang diaturkan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Dato Mohamed Apandi Ali merupakan satu keputusan yang betul dan tepat.

Malahan Jho Low telah pun didakwa di mahkamah Amerika Syarikat serta mahkamah Malaysia kerana terlibat dengan kesalahan jenayah menipu syarikat 1MDB dan kerajaan Malaysia berjumlah berpuluh bilion ringgit.

Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata, tidak harus wujud tawar-menawar antara penjenayah Jho Low dengan kerajaan Malaysia kerana sistem keadilan negara ini tidak boleh dijual beli dengan tawaran RM1.5 bilion oleh Jho Low.

” Adakah pada pandangan Jho Low bahawa Jabatan Peguam Negara dan badan kehakiman negara ini sanggup bersekongkol dengan penjenayah sepertinya dan boleh diajak berunding tawar-menawar untuk menggugurkan pertuduhan ke atas dirinya sekiranya ada harga yang sesuai boleh dibayar.

“Memang tepat sekali tindakan Peguam Negara dan pegawai dari Jabatan Peguam Negara serta juga pegawai-pegawai dari SPRM kini yang mengambil pendirian tepat menolak tawaran Jho Low yang bersikap biadap serta tidak bermaruah tersebut,” ujar beliau.

Tegas Hassan lagi, sekiranya Jho Low yakin beliau tidak bersalah, maka ia patut pulang ke tanahair bagi menghadapi pertuduhan di mahkamah dan bukannya berselindung di negara lain.

Tawar RM1.5 bilion, adakah Jho Low cuba merasuah kerajaan Malaysia?

Tambah beliau, tindakan Jho Low melantik firma guaman Kobre & Kin yang berpejabat di Washington dan seterusnya firma guaman dari Amerika Syarikat itu pula melantik bekas Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali sebagai orang perantaraan perundingan dengan kerajaan Malaysia, menjuruskan tindakan Jho Low tersebut sebagai pengakuan bahawa ia telah membuat kesalahan jenayah menipu syarikat 1MDB dan kerajaan Malaysia.

Yang menjadi persoalan kata Hassan lagi, mengapa bekas Peguam Negara tergamak menjadi perantaraan dan apakah benar dari segi undang-undang jenayah di Malaysia bahawa pertuduhan kesalahan jenayah di mahkamah negara ini boleh digugurkan sekiranya ada bayaran wang dibuat, apatah lagi jika ianya sebesar RM1. 5 bilion.

Seharusnya kata beliau, Jho Low perlu dibawa balik untuk dibicarakan dan menjadi saksi penting dalam perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bukannya mengadakan rundingan berkali-kali dengan wakil-wakil Jho Low sehingga melibatkan tawar-menawar.

Baca juga: ‘Tak ada sebab harga minyak tidak boleh turun’