Terasa menjadi bahan sindiran, penyanyi rap dan juga usahawan, Caprice menuntut pasar raya Mydin membuat permohonan maaf kepadanya gara-gara satu ciapan di Twitter Mydin yang memetik nama ‘cap’ dan ‘rice’.
Caprice menerusi Instagram berkata, dia kecewa dengan tindakan Mydin memuat naik Tweet berbaur sindiran terhadapnya dan memberi tempoh 24 jam untuk meminta maaf atau berdepan tindakan saman RM30 juta.
Mydin menerusi hantaran di Twitter menulis; “Mula-mula ingat nak beli tea je, sekali terbeli cap dengan rice. Bila sampai rumah, rasa macam tak perlu cap dengan rice tu. Nasib Mydin bagi pulangkan balik dalam masa 24 jam”.
Perkara tersebut membuatkan ramai terhibur kerana hantaran berkenaan merupakan satu troll yang secara tak langsung dituju kepada Caprice.
Sejak beberapa hari ini, nama Caprice menjadi bualan selepas dia komited melancarkan siasatan demi siasatan untuk membongkar salah laku individu yang terlibat dalam kes gangguan seksual. Malah namanya turut diperkatakan kerana cuba masuk campur dalam kes Cikgu Mohd Fadhli Salleh.
Namun, Caprice tidak bagi muka jika ada yang menyinggungnya kali ini. Dia berkata, dirinya telah mengalami penghinaan oleh jenama dan pasar raya yang kerap dikunjunginya untuk membeli-belah.
“Disebabkan penghinaan terbuka ini, klien kami (Caprice) tidak lagi berasa selamat dan selamanya akan trauma dengan pekerja dan pelanggan dari @mydinmalaysia.
“Kami akan meneruskan tindakan undang-undang dan berharap @mydinmalaysia mengeluarkan video permohonan maaf dan pampasan untuk hantaran tidak bertanggungjawab itu,” katanya.
Sementara itu menerusi Insta Story, Caprice berkata, dia terkejut dan kecewa dengan Tweet pasar raya berkenaan yang dianggap telah bertindak menyindir ketika dia sedang berjuang menentang kes-kes besar.
“Dan kepada mereka yang masih tidak berpuas hati dengan saya, saya mohon maaf jika cara saya kasar bermula dari kes PU lagi.
“Dari situ, ramai yang menyindir atau mengecam saya. Saya tahu ramai yang tak percaya dan tidak selesa (dengan pendedahan itu), inshaAllah kita akan sentiasa membantu dan membela mangsa,” katanya lagi.
Baca juga: Piala AFC: Hadiah lumayan menanti KL City