Malaysia Dateline

‘Terima kasih mat motor, nak tolak stroller bayi, kerusi roda pun payah’

Disebabkan ada sesetengah penunggang motor selamba menggunakan ruang pejalan kaki, maka pengguna lain seperti yang berkerusi roda dan ibubapa yang membawa anak menggunakan stroller pula mengalami masalah.

Ciapan pengguna Twitter, Shireen Shaib berkenaan laluan pejalan kaki di kawasan Kuala Lumpur yang dihadang deretan tiang menarik perhatian orang ramai.

Bagi yang menyambut baik langkah pemasangan tiang hitam berjalur putih itu, mereka berpendapat pemasangan struktur tersebut secara tidak langsung dapat menjamin keselamatan pejalan kaki sebelum melintas jalan.

Tidak kurang juga yang menegaskan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semestinya ada sebab memasang penghadang tersebut.

“Kerajaan buat mesti ada sebab. Rakyat pun dua kali lima menyusahkan orang lain.

“Cuba buka tiang tu, ruang pejalan kaki jadi tempat parking dan menjaja. Penunggang motor memang pantang tengok lantai luas-luas,” kata Syazmi Chebby.

Terdapat juga warga kota yang memberitahu ‘teknik’ untuk pejalan kaki melepasi tiang itu.

“Kena lencong-lencong sikit,” komen Ahmad Aliff Akhmal sambil menyertakan gambar yang disuntingnya.

Hal sama dijelaskan oleh Firdaus Razak berserta gambar serupa tetapi disunting dengan mewarnakan merah pada dua tiang dan kuning bagi ruang yang patut diguna oleh pejalan kaki.

“Cuba tengok betul-betul. Tiang warna merah tu jaraknya jauh dan adalah tiang antara pejalan kaki dan jalan.

“Garisan kuning mnunjukkan ruang untuk dilalui melepasi penghadang tersebut,” jelas Firdaus.

Namun, lebih ramai netizen dilihat mengecam pemasangan penghadang yang banyak itu termasuk berpendapat membazirkan wang rakyat tetapi dalam masa sama menguntungkan pihak yang mendapat tender projek.

“Yang penting keluar tender, buat dulu, dah ada orang komplen nanti, buka tender baru untuk cabut pulak. Baru aktif cashflow kita,” perli Azreen Atiq.

Baca juga Kontrak RM30.75 juta semata-mata untuk ganti 200 tiang lampu DBKL?

Baca juga Tak lagi aktif di Facebook, ramai remaja layan TikTok, YouTube