Terkejut kena bayar RM10 untuk 4 roti kosong, pembeli naik bingung tengok roti canai makin mahal

Oleh KIM SYAZIE

Sebelum ini dilaporkan harga sekeping roti canai mungkin akan dinaikkan antara 20 sen hingga 50 sen ekoran kenaikan harga gandum. Di kebanyakan kedai, roti kosong ketika ini dijual pada harga RM1.20 hingga RM1.70 sekeping.

Bagaimanapun menerusi perkongsian seorang pembeli, dia meluahkan rasa terkejut tertanya adakah normal harga roti canai kosong dijual sehingga RM1.80 sekeping dan RM3.75 bagi sekeping roti canai telur.

Kenaikan harga di sebuah kedai mamak di Kota Damansara itu katanya berbeza dengan kali terakhir dia membuat pembelian pada Jun 2022, di mana harga roti kosong masih lagi sekitar RM1.30 dan RM2.80 bagi roti telur.

“Maaf tumpang tanya sebab dah lama tak tengok sangat harga. Adakah normal, harga sekarang roti canai kosong RM1.80/pcs dan roti canai telur RM3.75/pcs

“Maaf, sekadar bertanya. Sumber kedai, restoran mamak area Kota Damansara. Bertanya sebab kali terakhir tengok bil pada bulan Jun 2022, harga RM1.30 dan RM2.80 je,” tulis seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Khaerul Insan di Facebook Warga Kota Damansara.

Perkara tersebut kemudian menarik perhatian penduduk di kawasan tersebut yang turut berkongsikan hal serupa dan mendakwa roti canai yang dibeli baru-baru ini dikenakan harga RM10 untuk empat keping roti kosong.

Ada juga yang meninggalkan komen mendakwa ada beberapa kedai yang mengamalkan cekik darah kerana tiap tahun akan menaikkan harga roti canai.

“Saya sekarang dekat Lotus Mutiara Damansara, baru order 4 keping roti kosong, bungkus. RM10. Order pun sebab orang tua pesan. Terkejut lah juga sejak PKP ni baru beli,” tulis pengguna tersebut di ruangan komen.

“Itu mamak cekik darah dah lama. Tiap tahun naik rege. Bila nak naik harga, dia buat-buat tukar buku menu sebab nak naikkan rege, saya tahu sebab dulu memang regular customer situ. Tapi sekarang tak lagi,” balas penduduk lain pula.

“Ada 1 je kedai mamak yang harga mahal camtu kat kota ni. Kedai mamak lain roti canai rate bawah RM1.50. Teh tarik pun dia caj RM2.80 tak termasuk tax lagi tu. Kalau yang tahu kedai tu tahulah pun masih ramai yang makan situ,” ujar penduduk lain.

Bagaimanapun ada yang beranggapan bahawa harga dikenakan adalah berpatutan kerana di gerai-gerai biasa sahaja sudah mula menaikkan harga sehingga RM1.50 sekeping. Dengan kenaikan harga telur, mereka melihat tidak berlaku kenaikan harga mendadak pada roti canai.

Baca juga: Lelaki kongsi kepayahan belajar di SJKC, ada pelajar Melayu tertinggal pelajaran sebab tak kuasai bahasa Cina

Baca juga: Produk pun orang tak pernah kenal tiba-tiba jadi jutawan, wanita ini bongkar taktik ‘founder’ timbang kilo jadi kaya