Bacaan paras air sungai terus meningkat melepasi paras bahaya di dua negeri di Pantai Timur Semenanjung menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Situasi itu berlaku ketika Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan ramalan hujan sangat lebat berterusan di seluruh Terengganu dan beberapa kawasan di Kelantan bermula hari ini hingga Selasa, 20 Disember ini.
Di TERENGGANU, berlaku pertambahan kepada lima stesen JPS yang merekodkan bacaan air sungai melepasi paras bahaya setakat jam 9.45 pagi tadi berbanding tiga stesen pada pukul 7 pagi tadi.
Mengikut laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my, lima stesen JPS itu meliputi Lembangan Sungai Terengganu dan Sungai Besut merangkumi daerah Besut, Setiu dan Hulu Terengganu iaitu:
- Sg. Besut di Jambatan Keruak – 36.62m
- Sg. Besut di Kg. La – 23.03m
- Sg. Nerus di Kg. Langkap – 21.38m
- Sg. Chalok di Jambatan Chalok – 8.50m
- Sg. Telemong di Kuala Ping – 20.18m
Di KELANTAN, tiga stesen JPS mencatatkan bacaan air sungai melepasi paras bahaya sehingga pukul 10 pagi tadi.
Kesemua stesen di Lembangan Sungai Golok itu meliputi Jeli, Tanah Merah dan Pasir Mas iaitu:
- Sg. Lanas di Air Lanas – 29.54m
- Sg. Golok di Kg. Jenob – 25.25m
- Sg. Golok di Rantau Panjang – 9.05m
Sementara itu, tiga stesen JPS lagi di Jeli, Tumpat dan Bachok mencatatkan bacaan air sungai melepasi paras amaran antara 2.22m hingga 54.50m iaitu:
- Sg. Pergau di Jambatan Jerimbong, Kuala Balah – 54.50m
- Sg. Golok di Kuala Jambu – 2.22m
- Jambatan Melor – 8.05m