Malaysia Dateline

Tiada perhimpunan 8 Disember ini – Amaran! Jangan sebar video ancam ketenteraman awam

Sehingga kini tiada sebarang maklumat mengenai perhimpunan yang akan diadakan oleh mana-mana pihak pada 8 Disember seperti yang digambarkan dalam satu video yang tular.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata video itu adalah rakaman pada 2018 berkaitan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Menurutnya, video lama yang disebar semula di media sosial itu memaparkan tindakan seorang lelaki memberi ucapan berbaur perkauman di sebuah premis tertutup.

Menerusi rakaman berdurasi dua minit 20 saat itu lelaki berkenaan menyatakan satu perhimpunan akan diadakan pada 8 Disember.

“Perhimpunan yang dimaksudkan adalah perhimpunan anti-ICERD yang berlangsung pada 8 Disember 2018 di Dataran Merdeka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suasana Himpunan anti ICERD pada 2018.

Acryl Sani berkata, video itu ditular kembali pihak tidak bertanggungjawab dengan tujuan membangkitkan kegusaran awam dan kekeliruan seolah-olah terdapat perhimpunan yang akan diadakan pada 8 Disember ini.

Sehubungan itu, pihaknya mengulangi komitmen dalam menjamin keselamatan awam dan bagi tujuan keselamatan masyarakat, tindakan tegas akan diambil jika mana-mana pihak dikesan mengadakan sebarang perhimpunan atau perarakan di tempat terbuka yang boleh mengancam ketenteraman awam.

Dalam masa sama, polis turut menasihatkan orang ramai untuk tidak menyebarkan atau berkongsi lanjut sekiranya menerima video berkenaan.

“Mana-mana individu yang dikesan menyebarkan video terbabit boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Kesekssan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” tambahnya.

Baca juga Selepas 42 tahun makan gadis Belanda, kanibal Jepun tidak pernah dipenjara ini akhirnya mati

Baca juga Tak tahan dimarah sebab bercinta padahal baru berusia 12 tahun, anak laporkan ibu kepada polis