Tiada sekelumit ucapan yang mencambah kebencian, masyarakat bukan Muslim pun teruja

Oleh ARIF ATAN

Rata-rata orang ramai dilihat memuji pengisian ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa program pertemuan dengan golongan ulama dan asatizah dalam program Mahabbah di Seri Perdana, Putrajaya semalam.

Reaksi positif rakyat berbilang kaum itu turut menyaksikan masyarakat bukan Muslim juga mengakui teruja dengan pidato Ahli Parlimen Tambun berkenaan termasuk peranan ulama dalam masyarakat.

“Saya mendengar secara langsung ucapan PM sampai habis. Tiada teks, bercakap dengan hati, menghurai dengan ilmu. Kita yang mendengar terpesona dan terpaku kerana ucapan yang penuh dengan nilai kesarjanaan.

“Tiada sekelumit kata-kata yang mencambah perpecahan dan kebencian. Percayalah kita di landasan yang betul, diterajui oleh seorang yang jiwa nuraninya menitikberatkan ilmu dan empatinya sangat tinggi kepada rakyat marhaen,” kata Awang Fardillah Awang Hussin.

Sementara itu, pengguna Facebook Saravanan Ramanathen berpendapat masyarakat bukan Islam teruja dengan pendekatan Islam dalam pentadbiran yang ditekankan Perdana Menteri.

“Tengok di Youtube semalam pencerahan dan hujahan DSAI, yang bukan Islam pun memang boleh memahami dan teruja dengan Islam yang dibawa oleh DSAI,” katanya.

Beliau turut memuji pendirian Anwar mengenai Islam dalam tatakelola mengurus kerajaan, membantu orang miskin tanpa mengira kaum, memecat menteri yang rasuah serta mencontohi nilai-nilai urus tadbir amalan zaman khalifah.

Best PM kita,” kata Saravanan lagi.

Semalam, Anwar yang juga Presiden PKR antara lain berkata, beliau akan membuktikan bahawa ada orang Melayu yang menggunakan kuasa untuk menjaga dan membela nasib rakyat di negara ini.

“Saya mahu buktikan ada orang Melayu, anak Melayu yang menggunakan kuasanya untuk menjaga dan membela nasib rakyat di negara ini.

“Saya mahu buktikan bahawa orang yang percaya kepada Islam itu akan dihormati dan diyakini kerana prinsip rahmah dan keadilan yang ditegakkannya,” katanya.

Baca juga MB Perlis jadi menteri besar pertama jumpa PM Anwar

Baca juga Hilang ibu bapa dalam kemalangan, sayu lihat kanak-kanak minta opah jagakan dia dan adik