Tidak cukup sumbang beras, Kerajaan Johor perlu segera tangani krisis bahan mentah

Oleh NASUHA RAHMAN

Tidak cukup hanya dengan menyumbang beras kepada rakyat, kerajaan Negeri Johor di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini disaran untuk segera mengadakan perbincangan khusus berkenaan dengan krisis bahan mentah yang sedang melanda negara termasuk negeri ini.

Saranan itu disuarakan oleh Ahli Dewan Negeri (Adun) Simpang Jeram, Datuk Seri Salahuddin Ayub ketika dihubungi memaklumkan bersedia dalam membantu kerajaan dalam menyelesaikan permasalahan bahan mentah.

“Ini perkara yang serius dan saya bersedia untuk berbincang sekiranya kerajaan Johor membuka ruang dalam mendengar suara pelbagai pihak di negeri ini.

Tidak cukup sumbang beras, Kerajaan Johor perlu segera tangani krisis bahan mentah
Kerajaan Johor agih beras percuma kepada rakyat

“Seharusnya kerajaan perlu progresif bukan setakat hanya menyumbang beras semata malah tindakan mengenal pasti punca krisis bahan mentah ini juga perlu dilakukan,”

“Kita tidak mahu selepas PRN (Pilihanraya Negeri), kerajaan Johor terus mendiamkan diri dalam isu-isu yang berbangkit terutamanya yang membabitkan rakyat,”ujarnya.

Dalam pada itu, beliau yang merupakan Ahli Parlimen Pulai turut menyatakan bahawa saranan yang sama telah disuarakan beliau di peringkat kerajaan pusat.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan perlu segera memberi respon kepada kebimbangan rakyat berkenaan dengan krisis bahan mentah tersebut.

“Kena jawab apa persoalan yang ditimbulkan oleh rakyat. Rakyat sedang bimbang dengan krisis yang melanda ini dan ini penting untuk kerajaan memberikan respon segera.

“Kerajaan juga boleh memanggil sidang Dun khas untuk membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil bagi memastikan keadaan ini terkawal.

“Kita tidak mahu ianya menjadi lebih parah dalam keadaan rakyat yang sedang memulihkan ekonomi mereka ketika ini,” ujarnya lagi.

Baca juga: Sempena Hari Wartawan Nasional 29 Mei: Pakai baju sekolah, tunggu bas bongkar sisi gelap penjara