Kluster mahkamah Umno mahu pilihan raya umum ke-15 diadakan segera. Kalau boleh hari ini juga. Harung banjir pun tak apa. Mereka seolah-olah tidak peduli lagi kepada rakyat jelata. Hatta ahli sendiri pun dibuang dan digantung kalau menegur ketua. Umno sudah jadi parti kuku besi.
Kita faham. Mereka terdesak (desperate) tengok “capo di tutti i capi” mereka, Mohd Najib Abdul Razak, disumbat ke penjara. Kalau bekas Perdana Menteri pun boleh masuk penjara, apalah sangat mereka.
Tak apalah. Hak mereka menuntut dan mengugut Ismail Sabri, Perdana Menteri dari parti mereka sendiri. Hak dan tanggungjawab kita adalah keluar mengundi.
Sebaik yang boleh, kita pilih wakil Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang terbaik, tolak yang tidak baik dan sekat yang jahat.
Kita sudah mula dengar banyak orang lama, orang tua, orang buangan, orang serpihan dan macam-macam lagi orang hendak bertanding semula. Itu pun hak juga.
Boleh jadi mereka sangka bangkai sudah reput dan bau busuk sudah hilang. Tetapi mereka lupa rangka dalam almari masih boleh diheret keluar untuk tontonan. Luka lama berdarah semula. Anak cucu (dan boleh jadi juga cicit) yang sebelum ini tidak tahu, akan tahu dan tanggung malu.
Masa perbuatan cela mereka didedahkan, media massa arus Perdana di bawah kawalan. Penyebaran skandal boleh dihadkan. Itu pun sikit sebanyak keluar juga. Sekarang zaman media sosial. Maklumat dan penyebarannya berada di hujung jari. Boleh di Google dan dikongsi.
Apatah lagi yang musuh lama masih ada dalam arena. Cerita kotor dua atau tiga dekad lalu pasti akan diungkit semula.
Untuk selamat dan pulihkan Malaysia kita kena keluar mengundi. Jangan jadi pengkhianat kepada diri sendiri. Tidak keluar mengundi lebih kurang sama saja dengan memilih penyangak, penyamun dan perasuah.
Orang Melayu khususnya kena berasa malu. Yang mendabik dada mengaku bumi ini milik mereka adalah Melayu. Tetapi yang banyak tidak mendaftar jadi pengundi juga Melayu. Yang banyak tidak keluar mengundi pun Melayu.
Tidak hairanlah setelah 60 tahun lebih bertempik sorak melaungkan merdeka, kampung semakin tergadai, hidup semakin sengsara.
Melayu wajib keluar mengundi tolak kejahatan. Mereka dalam bahaya menjadi hamba baru kepada parti-parti politik yang memperalatkan agama dan bangsa serta mengamalkan feudalisme dan kasta.
Bukan orang Melayu saja malah semua rakyat jelata Malaysia. Setahun lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menganggarkan 5.8 juta warganegara 18 tahun ke atas belum mendaftar.
Mulai 14 Januari tahun ini, semua warganegara berumur 18 tahun ke atas pada 31 Disember 31, 2021 akan didaftar secara automatik.
Baca juga: Data SPRM terbaru dedah jumlah wanita terbabit dalam rasuah makin meningkat
Baca juga: Selepas AS bagi amaran cuaca buruk, MET nasihatkan orang ramai bersiap sedia dan usah bimbang