Malaysia Dateline

Tidak perlu tukar ibadah korban kepada biasiswa, Islam masih ada wakaf, zakat dan sedekah

Baru-baru ini ada cadangan supaya ibadah korban ditukarkan kepada biasiswa bantu pelajar susah, bagaimanapun Ahli Majlis Fatwa Perlis Dr. Ustaz Rozaimi Ramle tampil memberi respons terhadap cadangan dengan menegaskan Islam masih ada wakaf, zakat dan sedekah.

Menurut Dr Rozaimi, ibadah korban adalah ibadah yang sangat bermakna buat kaum Muslimin dan ia dilakukan dalam bulan Zulhijjah.

Membalas cadangan pengguna Facebook itu, beliau berkata, besarnya ibadah ini sehinggakan ada pandangan yang mewajibkan ibadah ini.

Tidak perlu tukar ibadah korban kepada biasiswa, Islam masih ada wakaf, zakat dan sedekah
Cadangan tukar ibadah korban dengan biasiswa

“Manakala dalam mazhab kita di Malaysia iaitu mazhab Syafie hukumnya adalah sunnah kifayah bagi yang berkemampuan.

“Pentingnya ibadah korban sehingga dalam kitab Fiqh ada juga dinukilkan pandangan yang mengatakan boleh untuk berkorban dengan ayam jika tiada haiwan lain walaupun saya tidak bersama pandangan itu,” kata beliau.

Katanya, tidak perlu untuk mansuh atau gantikan ibadah korban ini dengan biasiswa kerana dalam Islam masih ada wakaf, zakat, sedekah dan lain-lain.

Dr Rozaimi Ramle

“Pada bila-bila masa sahaja kita boleh bersedekah melakukan infak, sedangkan ibadah korban ini pula pada bulan Zulhijjah.

“Mungkin ada suara yang mengatakan daging tidak bermakna. Saya katakan, lihatlah dalam pasaran makanan ketika harga daging meningkat, daginglah yang mendapat sambutan yang memberangsangkan untuk dimiliki,” kata beliau.

Jelasnya, ibadah korban juga memberikan ruang kepada penternak lembu dan kambing untuk meningkatkan hasil perniagaan. Di waktu melapah juga ada interaksi sesama manusia terutamanya jiran tetangga.

“Infak dan bersedekah banyak juga NGO (yang telah diaudit) juga telah banyak menyampaikan sumbangan kepada pihak yang memerlukan.

“Pada bila-bila masa sahaja infak dan sumbangan boleh diberikan. Tidak usah untuk kita tukarkan perkara yang Allah telah perintahkan kepada kita. Jangan cuba menukar hukum yang Allah turunkan kepada hambaNya.

“Agama ini telah lengkap, tidak perlu kepada penambahan sehingga mengganti apa yang telah Allah perintahkan,” katanya.

Ibadah korban merupakan amalan yang dilakukan oleh umat Islam ketika menyambut Hari Raya Aidiladha pada setiap tahun.

Secara umumnya, ibadah ini adalah suatu perbuatan menyembelih binatang-binatang Al-An’am seperti lembu, kerbau, kambing, kibas dan unta.

Kemudian, hasil sembelihan tersebut akan diagihkan kepada golongan asnaf atau fakir miskin bagi mereka bersama-sama menikmati daging korban itu.

Bagaimanapun, baru-baru ini timbul dakwaan daripada sesetengah pihak bahawa terdapat cadangan bagi menggantikan ibadah korban ini kepada bentuk biasiswa untuk pelajar.

Baca juga: Polemik jawatan TPM serupa RUU355; kedua-duanya Pas ada dalil

Baca juga: Lelaki guna ayat suci Al-Quran untuk pindahkan kanser kepada pokok, netizen luah rasa bimbang