Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) kembali bermesyuarat hari ini selepas perdana menteri memberikan tempoh dua minggu kepada ahli Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022 untuk menganalisis isu pemberian subsidi kepada rakyat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat hari ini menegaskan, Malaysia mesti menyalurkan semula subsidi pukal yang selama ini dimanfaatkan golongan maha kaya dan konglomerat, ke arah menopang kumpulan B40, M40 dan peniaga kecil yang amat terkesan dan memerlukan.
“Sebagai contoh, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempunyai hampir 10 juta pengguna tetapi 10% dari angka itu yakni 1
juta pengguna yang meliputi kumpulan konglomerat menikmati lebih dari 50% subsidi elektrik.
“Jabatan-jabatan kerajaan mesti merangka serta membangun wahana yang bersesuaian bagi melaksanakan subsidi bersasar dengan mengambil kira kepentingan pengguna dan industri serta memastikan kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan kebijakan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau memaklumkan sebanyak tiga kertas telah dibentang dalam Mesyuarat NACCOL hari ini yang membabitkan tiga kementerian bagi mengupas isu dan strategi secara bersama.
Antara kementerian terlibat termasuklah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, serta Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Mesyuarat turut dihadiri kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, menteri berkaitan, Ketua Setiausaha Negara, pegawai tertinggi kerajaan dan agensi kerajaan yang diketuai oleh Gabenor Bank Negara.
“Laporan-laporan ini adalah bertujuan untuk mendapatkan pandangan awal daripada pemegang taruh terutamanya pemain industri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili hak pengguna,” katanya.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, kerajaan konsisten dalam membangun serta mendukung pembangunan industri yang mampan.
Justeru katanya, kerajaan berhasrat untuk memudahkan para penternak untuk mengeksport produk mereka serta memastikan sektor penternakan menghasilkan bekalan yang cukup untuk keperluan rakyat, dan ini termasuk menjamin bantuan yang lebih besar dan bersasar, terutamanya kepada pengusaha tempatan.
Baginya, sektor penternakan negara telah lama mencapai tahap yang mampan untuk memenuhi permintaan tempatan dan berupaya untuk dieksport.
“Pada saat ini, isu bekalan menjadi tumpuan utama kerajaan kerana kekurangan bekalan akan memberi dampak yang buruk.
“Justeru, kerajaan akan mempertimbangkan untuk meneliti kaedah campur tangan kerajaan di peringkat pengguna,” katanya lagi.
Baca juga: Tragedi Fun Fair Puncak Alam, pengunjung menjerit lihat mangsa tercampak keluar dari permainan
Baca juga: ‘Protes Gelombang Hitam’, plot terbaru Mahiaddin, Hadi Awang untuk guling Kerajaan Perpaduan
ANWAR IBRAHIM
PERDANA MENTERI
13 Disember 2022