Malaysia Dateline

Tragedi Fun Fair Puncak Alam, pengunjung menjerit lihat mangsa tercampak keluar dari permainan

Pada semalam, Fun Fair Puncak Alam kecoh dengan jeritan dan kemurunan pengunjung selepas salah satu permainan ‘sotong ride’ tercabut menyebabkan beberapa pengunjung tercampak keluar daripada permainan itu.

Video kejadian pada malam semalam itu berlegar di media sosial dengan beberapa rakaman menunjukkan beberapa wanita cedera hingga terbaring di atas jalan tar.

Kejadian difahamkan berlaku di tapak fun fair dekat Eco Grandeur, Puncak Alam, Selangor.

Ramai mengerumuni mangsa menyebabkan keadaan sekitar bertukar agak sesak sebelum ambulans dikejarkan ke lokasi berkenaan.

Dalam kejadian tersebut, dua wanita dan seorang kanak-kanak dilaporkan cedera bagaimanapun mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut.

Ia disahkan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Ramli Kasa malam tadi.

“Mangsa dilaporkan terjatuh dari permainan dikenali sebagai ‘sotong ride’ ketika sedang berpusing.

“Seorang mangsa iaitu wanita cedera parah, manakala dua lagi tidak dipastikan keadaan mereka,” katanya.

“Tiga ambulans dan sebuah jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian,” katanya.

Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 6 Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Selangor 1995, iaitu beroperasi tanpa lesen.

Baca juga: Kelantan, Terengganu terancam banjir besar minggu depan, kata aktivis

Baca juga: Anwar nama pertama yang ditanya Qaradawi bila kami jumpa, kata Dr Maza