Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin menyifatkan tren ke Sungai Buloh menghampiri destinasi merujuk pada prosiding rayuan terakhir Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara atas penyelewengan RM42 juta dana SRC itu bermula lusa.
Wakil rakyat PKR berkenaan menegaskan tindakan yang dilihat untuk melewat-lewatkan proses mahkamah itu patut dihentikan.
“Hentikan semua taktik kelewatan yang sia-sia ini. Tren ke Sungai Buloh menghampiri destinasi. Keadilan ditangguhkan adalah keadilan yang dinafikan,” ciapnya di Twitter.
Hukuman penjara 12 tahun yang ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada Julai 2020 juga dianggap rakyat yang menolak salahguna kuasa dan kleptokrasi sebagai ‘hadiah merdeka’ jika hal itu menjadi kenyataan.
Pengguna Twitter, @LuqmanRom berharap lebih banyak ‘berita baik’ sebelum sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan tahun ini.
“Semoga dipermudahkan ke Sungai Buloh. Akan menjadi Merdeka yang paling manis buat sementara waktu bagi ramai rakyat Malaysia,” tulisnya.
Sementara itu @amerhadiazmi menyifatkan panel hakim sebagai, “Wira kita yang patut kita raikan semasa MERDEKA kalau Bossku di Sungai Buloh”.

Reaksi warganet berhubung kes seleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd juga dilihat bukan sahaja menjadikan nama Najib ‘trending’.
Serentak muncul sohor kini sejak petang tadi ialah ‘Sungai Buloh’ dengan rata-rata rakyat di negara ini berpendapat hukuman penjara terhadap Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu sudah semakin hampir.
Baca juga Najib ‘trending’ di Twitter gara-gara rayuan akhir kes seleweng dana RM42 juta