Tular dakwaan telur disorok sebelum PRU15, ini jawapan KPDNHEP

Oleh KIM SYAZIE

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menafikan kewujudan kartel telur ayam yang menyorok bekalan itu sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Setiausahanya, Datuk Azman Mohd Yusof, menyifatkan ia sebagai tuduhan tidak berasas, malah pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung kegiatan terbabit.

“Sekiranya berlaku, pengguna boleh buat laporan kepada kami dan Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP akan jalankan siasatan, tetapi perlu kemukakan aduan terperinci bagi memudahkan pihak kami,” katanya kepada media hari ini.

Beliau juga menyifatkan dakwaan sesetengah pihak bahawa bekalan telur tiba-tiba pulih selepas selesai PRU15 sebagai tidak berasas.

Ini kerana katanya, ketika ini ada beberapa negeri masih berdepan masalah bekalan telur.

Beliau turut melihat pihaknya tidak nampak masalah mengapa bekalan telur tidak mencukupi kerana kerajaan sudah memberi subsidi kepada peladang dan pengusaha bagi telur gred a, b dan c.

Peniaga ayam, telur dikenakan kompaun lebih RM500,000, antaranya atas kesalahan jual melebihi harga maksimum

Sementara itu, KPDNHEP memaklumkan sebanyak RM534,200 kompaun dikenakan terhadap pengeluar, pemborong dan peruncit di seluruh negara atas beberapa kesalahan menjual ayam dan telur bagi tempoh 5 Februari hingga semalam, 28 November.

Mereka antara lain melakukan tiga kesalahan iaitu menjual ayam dan telur melebihi harga maksimum, tiada tanda harga merah jambu dan tidak meletak tanda harga.

Kompaun tersebut membabitkan 2,205 tindakan kes, masing-masing terhadap 13 pengeluar, 54 pemborong dan 2,138 peruncit.

Nilai sitaan pula berjumlah RM336,634.80 iaitu masing-masing RM27,342.30 bagi pemborong dan RM309,292.50 bagi peruncit.

“Seramai 153 peniaga didapati menjual ayam dan telur melebihi harga maksimum; 1,980 gagal mempamerkan tanda harga merah jambu, manakala 72 tidak meletakkan tanda harga

“Daripada jumlah itu, bagi telur ayam, seramai 22 peniaga didapati menjual melebihi harga maksimum bagi telur gred A, B, dan C; seramai 1,654 peniaga tiada tanda harga merah jambu dan 38 peniaga tidak mempamer tanda harga,” katanya lagi.

Bagi isu kenaikan harga telur ayam di pasaran, Azman berkata tindakan boleh dikenakan terhadap pemain industri di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) sekiranya didapati melanggar akta itu.

Baca juga: Baru nak puji rumput cantik menghijau, sekali pemilik beritahu rupanya dah seminggu banjir termenung

Baca juga: Mahu elak bertembung dengan kereta, remaja tercampak dari motosikal sebelum jatuh jejambat tinggi 30 meter