Malaysia Dateline

Tutup gerai sebab dakwa netizen tak ‘support’, pemuda tegur siap senarai kenapa jualan tak laku

Baru-baru ini, tular satu tangkap layar hantaran Facebook dipercayai dari seorang peniaga minuman yang mendakwa terpaksa menutup gerainya di bazar kerana mendakwa netizen tidak menyokong jualannya.

Menerusi hantaran yang dikongsi netizen, pemilik gerai berkenaan berkata, baru tujuh hari berniaga mereka terpaksa menutup gerai kerana tiada yang datang membeli.

“Terima kasih warga Marang sebab tak ‘support’ jualan anak muda. Hari ini hari terakhir kita orang berniaga di bazar Bandar Marang ini. Baru puasa 7 hari, kita orang dah kena tutup gerai sebab tak ada netizen yang ‘support’. Terima kasih warga Marang. Yang kaya makin kaya, yang miskin makin miskin,” tulis hantaran berkenaan.

Susulan itu, seorang pengguna Facebook menggunakan nama Akmal menegur tindakan berkenaan dan menyenaraikan beberapa kesalahan peniaga tersebut yang tidak sepatutnya dituding pada netizen.

Dia berkata, cara peniaga berkenaan menggambarkan air jualannya sendiri sudah gagal kerana tiada faktor menarik yang boleh menarik pelanggan untuk membeli. Pemuda berkenaan juga menyenaraikan empat kesalahan mengapa jualan peniaga tersebut tak laku.

Nak tahu apa sebab orang tak singgah?

1. Presentation fail: Kau jual air balang zaman bila ni? Kalau awal tahun 2000 dulu, mungkin boleh. Tapi dah 2022 masih macam ni, kirim salamlah.

2. Tak ada usaha: Orang membeli bukan dengan rasa. Jadi kau kena sampaikan rasa tu melalui pancaindera yang lain. Gunakan mata dan bunyi. Tampal sticker yang nampak air oren kau terpaling oren kat situ.

3. Hambar: Kalau warna air tak dapat nak ubah sekalipun, kau main warna kedai. Letak warna yang menaikkan nafsu untuk orang beli. Tu alas meja. Dah kenapa alas meja guna alas meja sekolah agama rakyat tahun 1999 punya?

4. Penjenamaan: Kena la cari satu ‘X-Factor’ yang buat orang teringin nak singgah kedai kau. Pernah dengar kan roti canai terbang? Nasi lemak paku? Aiskrim pasu? Ini semua benda yang kau kena cari sebagai satu bonus untuk boost jualan kau.

Pernah kan tular group jual air balang sambil nyanyi sama-sama? Atau yang letak menu air balang tu rare. “Air drebar lori, air iron man, air Hulk.”

Pantang betul kalau jenis meniaga tapi salahkan orang tak singgah ni. Padahal salah tu daripada diri sendiri. Orang suruh buat banner, bunting, sticker, tak nak. Berkira. Tak tahu agaknya impak marketing and branding ni besar yang amat.

Selepas ini para peniaga yang baru mula nak menceburkan diri dalam bidang perniagaan, anda bolehlah guna 4 tips yang dikongsikan pemuda ini.

Baca juga: Ramai kata memang sama, ini 5 makanan sejuk beku yang rasanya macam McDonald’s

Baca juga: Tragedi sahur! Dua beradik maut dalam kebakaran