Ubah suai flat secara haram, MPAJ perjelas tindakan roboh guna jentolak

Oleh KIM SYAZIE

Sejak semalam tular gambar memaparkan sebuah rumah pangsa yang sedang dalam proses pengubahsuaian untuk dibesarkan, telah dirobohkan oleh jentolak yang dihantar pihak berkuasa.

Difahamkan, perobohan binaan tambahan tersebut dilakukan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang tampil memberi penjelasan berhubung keadaan itu dalam satu kenyataan terbarunya hari ini.

Gambar ihsan pengguna Facebook

Menurut MPAJ, pihak majlis terpaksa merobohkan struktur tambahan haram yang dibina oleh seorang penghuni pangsa disebabkan pengubahsuaian yang dilakukannya tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa terlebih dahulu.

“Isu keselamatan penduduk sekitar perlu diambil kira, tambahan rumah itu kelak mengganggu kerja-kerja menyelamat sekiranya berlaku sebarang malapetaka seperti kebakaran dan sebagainya.

“Kesannya, MPAJ terpaksa merobohkan struktur tambahan haram yang nyata menggunakan ruang harta bersama yang bukan hak mutlak pemilik tapi adalah dikongsi secara bersama.

“Kediaman berstrata seperti flat, apartmen dan kondominium terikat dengan Akta 757 di mana lot petak hanya terhad kepada keluasan petak yang dibeli sahaja,” katanya.

Sekadar info, rumah yang dalam proses dibesarkan itu dilimiki pemilik kediaman di Blok 4, Flat UTM, AU3/1.

Menurut MPAJ, tindakan mengubah suai rumah tanpa kelulusan mengikut Akta 133 dan Akta 757 bakal mendatangkan pelbagai risiko dan masalah kepada penduduk setempat.

Baca juga: Ambil kesempatan bekalan ayam kurang, scammer tipu pelanggan jual ayam murah di FB

Baca juga: 4 kenderaan rosak selepas bas tanpa pemandu mengundur