Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno yang berlangsung pada malam tadi memutuskan pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan (PRU15) pada tahun ini juga.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan keputusan itu adalah berasaskan pendirian konsisten Umno sejak dari awal untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat Pandemik Covid-19 setelah runtuhnya Kerajaan Pakatan Harapan kerana persengketan dalaman politik sesama mereka.
“Semua jentera parti di setiap peringkat adalah diarahkan untuk memuktamadkan segala persiapan yang telah dibuat sebelum ini bagi memasuki fasa pembubaran sehinggalah kepada tarikh Pilihan Raya Umum ke-15,” kata Setiausaha Agung Datuk Ahmad Maslan dalam kenyataan.
Katanya, Umno percaya hanya dengan mengembalikan hak rakyat bagi membolehkan mandat sebenar diperolehi, maka sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk bagi memulihkan negara khususnya dalam aspek ekonomi yang berkait rapat dengan soal kesejahteraan hidup mereka, disamping beberapa usaha pembaharuan institusi ke arah mewujudkan tadbir urus yang lebih baik buat negara.
Baca juga: Guna Bajet ’23 untuk tangani impak perubahan iklim yang dijangka lebih besar dari Covid-19
Baca juga: Padah lakukan gangguan seksual kepada pelajar, pensyarah UiTM ditamatkan perkhidmatan