Malaysia Dateline

Umno tidak dijemput ke Muktamar Pas 2022-Jangan putar belit, berlagak suci, kata Suraya kepada Pas

Pas sepatutnya lebih ikhlas dan bercakap benar kepada rakyat soal jemputan kepimpinan Umno ke Muktamar Pas 2022 bukannya putar belit dan berlagak suci berlagak suci atau “play victim” dalam soal ini, demikian menurut Datuk Suraya Yaacob.

Ketua Penerangan Umno Kedah itu berkata, tindakan Pas yang sememangnya tidak menjemput pimpinan Umno secara rasmi di Muktamar Pas 2022 telah mengelirukan orang ramai mengenai hal sebenar yang berlaku dengan menyalahkan kepimpinan Umno.

Beliau menegaskan tiada sebarang undangan dibuat oleh Pas kepada kepimpinan Umno Pusat atau Negeri Kedah untuk ke Muktamar Pas baru-baru ini, melainkan hanya kepada Exco Kerajaan Negeri Kedah sahaja.

“Hakikatnya, sepanjang empat tahun Muafakat Nasional (MN) ditubuhkan, saya tidak pernah sekalipun hadir ke mana-mana Muktamar Tahunan Pas, mahupun mesyuarat di peringkat Pas Kawasan mahupun Negeri Kedah.

“Peliknya, pada tahun 2022 ini kecoh pula tentang kononnya tidak seorang pun kepimpinan Umno hadir pada Muktamar Pas?

“Bagaimana kepimpinan Umno hendak hadir jika tiada sebarang jemputan dibuat atas kapasiti parti? Apakah kerana kekecohan tersebut sengaja Pas cetuskan gara-gara PRU15 yang hampir tiba?

Justeru beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Pendang menasihatkan Pas agar lebih ikhlas dan bercakap benar kepada rakyat tentang soal jemputan atau kehadiran kepimpinan Umno ke Muktamar Pas 2022 ini.

“Tidak dinafikan pada 30 Ogos baru-baru ini, saya ada menerima jemputan dari Ketua Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, saudara Zulkifli Yahya, menjemput saya ke Muktamar Tahunan Pas yang berlangsung di Kedah.

“Ingin saya tegaskan di sini bahawa jemputan dibuat atas tiket Exco kerajaan negeri kedah dan langsung tidak melibatkan kapasiti kepimpinan Umno atau institusi kepartian.

“Malah ketika berbual dengan Setiausaha Agung Pas Pusat, Dato’ Takiyuddin Hassan, di Majlis Perasmian Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas Dan Loji Janakuasa Pulau Bunting di Yan pada 1 September lalu, beliau hanya berseloroh memberitahu Muktamar Tahunan Pas 2022 itu dibuat serentak dengan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Kedah.

“Namun beliau langsung tidak menyebut tentang sebarang jemputan kepada kepimpinan Umno di peringkat Pusat mahupun Negeri Kedah ke Muktamar berkenaan.

“Bahkan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Kedah, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom yang berada di majlis yang sama juga tidak dimaklumkan tentang sebarang undangan ke Muktamar Pas 2022 itu,” terang beliau.

Baca juga: Elakkan tiga politik racun yang boleh gagalkan negara

Baca juga: Keputusan berpisah bukan perkara mudah, Nad Zainal sahkan penceraian selepas 7 tahun berkahwin