Undang-undang kunci tayar: MPKB, kerajaan Pas Kelantan berpotensi disaman pemilik kenderaan

Oleh ARIF ATAN

Pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) dan kerajaan Pas Kelantan berkemungkinan besar berpotensi untuk disaman oleh pemilik kenderaan yang pernah menjadi mangsa kepada undang-undang kunci tayar.

Pemimpin AMANAH, Mohamed Hanipa Maidin berkata, hal tersebut susulan keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini memutuskan bahawa undang-undang kunci tayar dikuat kuasa MPKB adalah tidak sah kerana bercanggah dengan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333).

“Ini kerana pihak MPKB mungkin dianggap telah melakukan kesalahan “tort of misfeaseance in public offfice”atau telah dianggap menyalagunakan kuasa dalam melaksanakan atau menguatkuasakan sebuah undang-undang yang tidak sah dan ultra vires Akta 333.

“Jika diandaikan mereka disaman,berkemungkinan besar para penyaman akan menuntut gantirugi daripada mereka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Untuk rekod, keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya berhubung perkara tersebut susulan Perintah 17 Perintah Pengangkutan Jalan (LKB) (MPKB) 2000 adalah ‘ultra vires’ atau melampaui Seksyen 72(7) APJ 1987.

Bagaimanapun, Perintah 8 di bawah perintah sama masih sah dan MPKB masih boleh mengenakan kompaun bagi kesalahan berkaitan parkir kereta.

Panel tiga hakim membabitkan Datuk Hashim Hamzah, Datuk Abdul Karim Jalil dan Datuk Supang Lian, membuat keputusan itu secara sebulat suara.

Ekoran keputusan itu, MPKB tidak lagi boleh mengunci tayar kereta yang diletakkan di petak parkir, sebaliknya hanya boleh mengenakan kompaun.

Perayu dalam kes itu ialah Nursyafawati Kasim yang diwakili peguam; Hisham Fauzi, Ang Khai Wei, Majdah Muhammad dan Haziratul Aqilah Huzailing, manakala peguam Marwalis Adam dan Shaharuddin Mohamed mewakili MPKB.

Sebelum ini, peraturan tegas MPKB yang mensyaratkan ‘wajib bayar’ RM110 sebelum kunci dibuka mendapat kritikan penduduk.

Pihak MPKB diminta mengkaji semula kadar kompaun dan denda kunci tayar yang dikenakan dengan mengambil kira kebajikan rakyat.

Mengulas lanjut, Hanipa yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkata, keputusan mahkamah itu juga dilihat menjejaskan imej Bandaraya Islam yang cuba dibawa oleh MPKB dan Kerajaan Pas Kelantan.

Menurutnya, imej tersebut juga berpotensi tercemar dengan teruk kerana menguatkuasakan sebuah undang-undang yang tidak sah yang dilihat ” menzalimi” para penguguna kenderaan.

“Ini sekadar pandangan saya sebagai seorang mantan peguam litigasi hampir 25 tahun dan sebagai mantan timbalan menteri undang-undang,” tambah Hanipa lagi.

Baca juga Sentiasa ada pertolongan Allah – Jangan lupa iktibar dari kisah hari-hari terakhir hayat gadis solehah ini

Baca juga Saman syarikat walaupun gaji RM560,729 setahun, alasannya buat orang bingung