Malaysia Dateline

Undi Pas, maknanya undi BN

Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan berkata Perikatan Nasional akan bergabung dengan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan. Tetapi tidak akan membentuk kerajaan dengan Pakatan Harapan.

PRU belum diadakan tetapi hasrat penggabungan sudah dinyatakan. Hasrat itu datang dari Pas. Tiada hasrat demikian dizahirkan oleh Bersatu. Takiyuddin hanya bercakap bagi pihak Pas, dan bukannya PN.

Perkara ini dapat difahami kerana sebelum penamaan calon lagi, Pas mahu kerjasama dengan Umno tetapi tidak mahu lepaskan PN. Pas mahu “main dua kolam”. Tentulah Umno tolak. Mereka kata kerjasama hanya selepas PRU.

Maknanya Pas hendak menyertai kerajaan, tidak kiralah sama ada Umno atau Bersatu yang dominan. Apa yang pasti Pas tidak akan dominan. Tetapi matlamat Umno ialah kedudukan dominan. Segala sebab mengapa PRU ini tergesa-gesa dilakukan atas desakan presiden Umno, Zahid Hamidi ialah kehendaknya supaya Umno menjadi dominan dalam politik negara. BN dengan sokongan sekutu-sekutunya di Sarawak dan Sabah mahu menguasai dua pertiga kerusi Parlimen seperti zaman-zaman dahulu.

Andainya BN dominan, apa perlunya Umno bekerjasama dengan Pas. Buat semak kabinet, biarlah Pas jadi pembangkang seperti Bersatu dan PH. Umno hanya perlukan Pas bila ia lemah. Tetapi Pas juga hanya perlukan Umno bila Bersatu lemah. Kalau Umno lemah, Pas pergi ke Bersatu. PN itu pakatan rapuh Bersatu-Pas tanpa sebarang nilai perjuangan.

Tetapi kalau Umno dan Bersatu bekerjasama, Pas pun hendak sertai. Maka jadinya ialah kerajaan PN-BN-Pas atau BN-PN-Pas yang wujud selama ini, suatu kerajaan yang dikatakan tidak stabil. Andainya Umno dan Bersatu dapat bekerjasama, buat apa mereka mengajak Pas.

Bagi pengundi, mereka mungkin berasa tertipu. Walaupun sekarang wakil rakyat mereka sudah tidak boleh melompat, tetapi parti mereka boleh melompat untuk buat jajaran baharu dan mengubah kerajaan

Dalam PRU kali ini, mereka mengundi gabungan, bukannya parti-parti berasingan. Mefeka mengundi BN, PN, PH atau GTA. Penyokong-penyokong Pas bukan undi parti mereka semata-mata tetapi undi PN.

Apabila undi PN, maknanya mereka tolak BN, PH dan GTA. Tapi jika Pas sertai kerajaan BN lepas PRU, itu suatu pengkhianatan. Sebab mereka tidak mahu BN. Kalau mereka mahu BN, baik mereka undi BN. Maka jika mereka betul-betul tolak BN, baik tak usah undi Pas kerana akhirnya Pas akan bekerjasama dengan BN.

Pas seringkali sebut mengenai Perpaduan Ummah dan kerajaan Melayu-Islam yang rujukannya ialah kerjasama Umno-Pas-Bersatu. Kerajaan sejak 2020 adalah kerajaan ini, yang “gagal dan tidak stabil.”

Ahli politik Melayu-Islam bukan saja ada dalam BN dan PN, tetapi ada juga dalam PH dan GTA. Ada sebab mengapa parti Melayu-Islam tidak boleh bersatu. Pas tidak boleh pura-pura buat tidak tahu. Masalahnya pada Umno. PH dan GTA tidak boleh terima Umno kerana ia mempunyai budaya korup, dan tidak layak memerintah. Ia bukan soal individu yang korup, tetapi ia sudah meresap menjadi budaya dalam parti itu. Bagaimanakah Pas boleh bekerjasama dengan pihak seperti ini.

Ada suatu kekeliruan tentang apa yang hendak diperjuangkan Pas. Adakah mereka tidak mahukan negata yang bersih daripada korupsi dan penyelewengan? Adakah memperjuangkan soal kaum mengatasi soal keadilan yang dituntut oleh agama? Malaysia yang bagaimanakah mereka mahukan? Adakah mereka mahukan sebuah negara korup dan ketinggalan dengan meminggirkan sebahagian rakyatnya atas nama kaum?

Jadinya Pas seperti Bersatu tidak berbeza daripada Umno Bezanya hanyalah penampilan agama oleh Pas. Maka untuk apa mengundi Pas dan PN.

Baca juga: Khalid pejuang rakyat yang perlu menang di Titiwangsa, kata Anwar

Baca juga: Mat Sabu bergegas dari Temerloh ke Parlimen Kota Raja demi lawat mangsa banjir