Malaysia Dateline

Usah normalisasi lawak lucah dan ‘double-meaning’ undang kebejatan akhlak

Unsur lawak kini menjadi trend dan ianya dianggap sebagai satu kaedah untuk menarik minat penonton mahupun peserta, namun dalam tidak sedar ada yang menggunakan unsur lawak lucah dan ‘double meaning’ oleh seorang ustaz.

Tidak dinafikan unsur lawak sering dimasukkan dalam ceramah agama kerana ia boleh membantu menceriakan suasana agar tidak bosan atau membuatkan peserta mengantuk.

Bagaimanapun lawak lucah tidak wajar di normaliasasikan oleh penceramah agama sebagaimana ditegaskan oleh pengguna Facebook Furqan Abdullah.

“Saya ada terlihat video ini berlegar, “ustaz” berkenaan cakap, “kalau bawa motor besar kena bawa laju, kalau bawa slow nanti dia akan jadi panas menyebabkan telur masak.” لا حول ولا قوة إلا بالله

Katanya, lawak yang dibuat ustaz berkenaan disambut dengan hilai tawa hadirin bahkan seorang wanita yang berada di atas pentas turut dilihat tersipu-sipu tertawa.

Beberapa orang lelaki lain termasuklah seorang lagi ustaz selebriti yang berada di atas pentas turut syok gelak mendengar “lawak” beliau.

Bagi beliau, inilah kebejatan akhlak dan korupsi yang parah dilakukan segelintir mereka yang beperwatakan lebai, dan bercakap ikut sedap mulut, yang penting orang gelak berdekah-dekah.

Jika kita teliti menerusi rakaman tersebut, “ustaz” tersebut bukan sahaja membuat lawak lucah, bahkan “fakta” yang diceritakannya pula entah betul entah tidak, atau beliau sengaja mereka-rekanya.

“Nabi SAW dalam sebuah hadis melarang dan mendoakan kecelakaan bagi mereka yang bercakap bohong semata-mata nak buat orang gelak:

إن الذي يحدث فيكذب ليضحك القوم ويل له ويل له ثم ويل له

“Barangsiapa yang berkata-kata lalu (terbukti) dia menipu semata-mata untuk membuatkan orang gelak, nescaya kecelakaan ke atasnya (diulang 3 kali).”

Jauhilah orang sebegini, atau lebih baik boikot sahaja ceramah berunsur begini. Hal ini merupakan saranan para ulama sepertimana yang ditegaskan oleh Imam al-San’ani:

الحديث دليل على تحريم الكذب لإضحاك القوم، وهذا تحريم خاص. ويحرم على السامعين سماعه إذا علموه كذبا؛ لأنه إقرار على المنكر بل يجب عليهم النكير أو القيام من الموقف، وقد عد الكذب من الكبائر.

“Hadis ini menunjukkan pengharaman perbuatan menipu untuk membuatkan orang gelak, ia merupakan pengharaman yang khusus. Begitu juga diharamkan untuk mendengar daripada mereka jika diketahui akan temberangnya kerana (jika kita mendengar juga), bermaksud kita memperakui kemungkarannya (penipuannya). Malahan, wajib hukumnya membantah sikap begini dan beredar meninggalkan (majlis mereka). Sementelahan pula, penipuan merupakan salah satu daripada dosa besar.”

Bagaimanapun beliau berharap semua terhindar daripada sikap buruk dan tidak mengangkat orang sebegini menjadi teladan masyarakat.

Baca juga: Lepas tular gambar air keruh, Pengarah Kesihatan Kelantan akui Hospital Machang alami masalah air sejak Isnin

Baca juga: Tak perlu lagi pakai pelitup muka dalam bangunan tertutup