Malaysia Dateline

Usah rumitkan ‘rider’ p-hailing dengan lesen GDL sebaliknya beri mereka perlindungan KWSP, Perkeso

Usah merumitkan penunggang atau ‘rider’ p-hailing yang sedang berhadap dengan pelbagai kekangan dengan mewajibkan Lesen Memandu Vokasional (GDL).

Bahkan sebahagian besar mereka yang terlibat adalah anak muda yang sedang bergelut untuk meneruskan kehidupan yang mencabar ini tiba-tiba kerajaan menambahkan beban mereka kononnya untuk menyelesaikan masalah tetapi sebaliknya membawa masalah yang baru kepada para penghantar.

Pengumuman terbaru kerajaan untuk mewajibkan GDL kepada penghantar p-hailing amatlah pelik dan mengecewakan, demikian menurut Pemuda AMANAH Nasional.

Industri sektor ekonomi gig p-hailing adalah sebuah industri pekerjaan bebas dan fleksibel.

Ketuanya Hasbie Muda berkata, kerajaan tidak perlu merumitkan nature kerja mereka dengan pelbagai birokrasi apatah lagi keperluan memiliki lesen GDL langsung tidak ada kaitan dengan tugasan mereka memandangkan mereka tidak perlu mengendalikan penghantaran barangan dalam jumlah yang besar seperti pemandu lori dan sebagainya.

Kerajaan sepatutnya, kata beliau fokus masalah sebenar untuk membantu para penghantar p-hailing agar mereka dapat terus bertahan.

“Justeru, syarat wajib untuk memiliki lesen GDL sepatutnya dimansuhkan,”katanya.

Pemuda AMANAH Nasional juga menggesa kerajaan mengiktiraf setiap penghantar yang terlibat dalam p-hailing sebagai pekerja dan mendapat perlindungan di bawah Akta Kerja 1955 dan akta-akta yang berkaitan.

“Menjelang pembentangan Belanjawan 2023 sedikit masa lagi, kami juga berharap agar ada peruntukan khusus untuk kebajikan para penghantar p-hailing misalnya memberikan insentif tertentu kepada syarikat penyedia perkhidmatan yang mencarumkan para penghantar dalam perlindungan sosial terutamanya PERKESO dan KWSP.

“Kerajaan sepatutnya memudahcara (facilitate) dan bukannya membebankan serta menghampakan (frustrate) para penghantar yang mencari sesuap nasi untuk keluarga mereka,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, penunggang perkhidmatan p-hailing bakal disyaratkan untuk memiliki Lesen Memandu Vokasional (GDL) apabila beberapa akta sedia ada dipinda bagi memastikan perkhidmatan p-hailing di negara ini diselia dengan baik.

Pindaan ini bertujuan pengawalseliaan serta penetapan peraturan, dan ia akan mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan,” katanya.

Merujuk kepada syarat memiliki lesen GDL itu, Wee berkata ia dilaksnaakan bukan untuk membebankan, tetapi bagi membolehkan Kementerian Pengangkutan mengetahui bilangan penunggang yang ada dalam negara.

Baca juga: Susulan insiden di KLIA, KPPA keluar surat peringatan larangan buat pernyataan awam

Baca juga: Buat lagu hina Islam, penyanyi berang saluran YouTube digantung