Usaha lawan jenayah seksual kanak-kanak perlu kerjasama semua pihak – Raja Zarith Sofia

Oleh KIM SYAZIE

Kanak-kanak adalah insan yang wajib dilindungi apatah lagi bila melibatkan jenayah seksual yang semakin berleluasa.

Bagi menangani jenayah seksual melibatkan kanak-kanak, adalah penting untuk setiap agensi bekerjasama bagi mengatasi jurang dan cabaran.

Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah bertitah hak dan kepentingan kanak-kanak perlu dilindungi semua pihak.

“Kanak-kanak adalah golongan rentan di mana hak dan kepentingan mereka perlu dilindungi oleh kita semua, terutamanya agensi-agensi dalam sistem keadilan jenayah.

“Perubahan undang-undang dan struktur perlu diiringi dengan kesungguhan daripada setiap agensi yang terbabit untuk menyokong mangsa jenayah seksual kanak-kanak.

“Saya percaya bahawa perbincangan secara terbuka yang membabitkan kesemua agensi adalah kunci kepada penambahbaikan sokongan untuk kanak-kanak dalam sistem keadilan jenayah,” titah baginda.

Titah berkenaan dibacakan oleh Isteri Tunku Mahkota Johor, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam, yang berangkat selaku wakil rasmi baginda ke Seminar Multi-Agensi bertajuk “Melindungi Hak dan Menyokong Mangsa Jenayah Seksual Kanak-Kanak” hari ini.

Seminar berkenaan dianjurkan oleh ‘Women’s Centre for Change’ (WCC) dengan kerjasama Pertubuhan Pergerakan Wanita Johor atau ‘Johor Women’s League’ (JEWEL) dan sokongan ‘Canada Fund for Local Initiatives’ (CFLI).

Ia disertai lebih 40 peserta daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hospital-Hospital dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Mahkamah serta Badan Bukan Kerajaan (NGO).

“Saya berharap seminar ini akan mempermudahkan perkongsian data statistik kes-kes yang dikendalikan, isu-isu serta cabaran yang dihadapi masing-masing, selain inisiatif baru kesemua agensi,” titah Tuanku Raja Zarith.

Baca juga: ‘Hak dia untuk merancang dan mengigau’ – PM Anwar ulas kenyataan Hadi Awang