Malaysia Dateline

Walau Covid-19 makin melambung, Pas minta ahli solat hajat panjangkan hayat kerajaan PN

Walaupun pandemik Covid-19 meragut lebih 200 nyawa dengan lebih 20,000 dijangkiti setiap hari, Pas nampaknya bimbang dengan kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru semua ahlinya mendirikan solat hajat dan munajat malam ini agar kerajaan PN terus kekal mentadbir negara.

“Esok hari yang sangat penting dalam menentukan masa depan negara.

“Kita perlukan masa bagi selesai kemelut yang berlaku, keadaan Covid-19 dan tekanan ekonomi rakyat dan negara pada masa ini,” kata Menteri Alam Sekitar dan Air itu dalam hantaran di Facebook.

Sebelum ini, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian meluahkan rasa dukacita susulan langkah Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Ahli-Ahli Parlimen parti itu menarik diri daripada kerajaan PN.

Pas menyumbang 18 kerusi Dewan Rakyat kepada kerajaan PN sejurus tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 24 Februari 2020.

Walau bagaimanapun, keabsahan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri dipertikai susulan penarikan sokongan Umno.

Malah, fokus terhadap usaha menangani krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19 dilihat sukar diberi keutamaan selagi Mahiaddin enggan meletak jawatan.

Esok, Mahiaddin akan menyerah surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Sebelum itu, Mahiaddin akan mengadakan mesyuarat khas Kabinetnya yang sejak tahun lalu dikritik terlalu besar dengan 31 menteri dan 38 timbalan menteri.

Pagi tadi, Mahiaddin yang juga Presiden Bersatu bermesyuarat dengan Ahli Parlimen daripada Bersatu dan mereka yang menyokong PN.