Malaysia Dateline

Wang tabung angkatan tentera tak harus jadi alat untuk projek sakit kerajaan

Wang Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) tidak boleh sewenang-wenangnya digunakan oleh kerajaan kerana ia adalah satu tabung untuk faedah persaraan golongan tentera dan tidak harus digunakan sebagai alat oleh Kerajaan Persekutuan bagi projek-projek strategik kerajaan.

Malah, ujar Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai, ia sepatutnya berfungsi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pelaburan strategik serta tidak melibatkan diri secara terus atau melalui anak syarikatnya dalam projek-projek berisiko tinggi dan mempunyai implikasi kewangan yang tinggi.

“LTAT sepatutnya dipenuhi dengan ahli-ahli profesional dalam pelaburan, kewangan dan ekonomi dan bukannya menjadi ‘revolving door’ ” yang dipenuhi oleh ahli politik yang bersara atau Panglima Angkatan Tentera yang bersara.

“Malaysia telah mendapat kedudukan yang lemah iaitu D dalam ‘Goverment Defence Integrity Index’ oleh Transparency International dan Parlimen perlu melihat kepada mekanisme pembelian pertahanan (defence procurement) yang telus dan memenuhi keperluan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) .

Wong Hon Wai

“Para veteran ATM telah pun menghantar banyak memorandum berkenaan tuntutan kebajikan mereka dan sekiranya tiada ketirisan maupun kepincangan dalam pelaksanaan projek kerajaan termasuk Kapal Tempur Pesisir (LCS) maka sudah pasti wang tersebut boleh digunakan untuk memenuhi dan mempertingkatkan kebajikan para veteran ATM dan dividen LTAT dapat ditingkatkan setanding dengan KWSP, ” ujar beliau.

Sehubungan itu tegasnya, wang LTAT haruslah dijaga dengan sebaik mungkin demi kebajikan para tentera serta tidak patut digunakan bagi menyelamatkan mana-mana projek kerajaan termasuklah isu LCS yang hangat diperkatakan tatkala ini.

Baca juga Mengapa tiada sepatah pun bahasa kebangsaan di sebuah pusat beli-belah di Seberang Jaya?

Baca juga Lumayan! Kerja sebagai pembantu jualan, rakyat Malaysia ditawar gaji RM10,000 sebulan