Seorang wanita Amerika Syarikat (AS) berkongsikan pengalamannya bertarung nyawa selama 60 hari selepas digigit anjing lebih 800 kali sehingga hilang kira-kira 30 peratus darah.
Jacqueline Durand, 22, kini tidak lagi sempurna seperti dilahirkan selepas muka, telinga dan hidungnya cedera teruk akibat serangan anjing sehari sebelum ulang tahunnya ke-22.
Dia terpaksa menjalani pembedahan kecemasan selama tujuh jam di hospital selain koma.
Walau bagaimanapun, Jacqueline berkata, serangan ganas haiwan itu tidak mematahkan semangatnya bahkan masih mempunyai impian untuk bekerja sebagai jurulatih anjing.
Dia sebaliknya bertuah kerana teman lelakinya setia bersamanya walaupun wajahnya tidak sama seperti dahulu.
“Sudah tiba masanya saya tunjukkan siapa saya sekarang dan saya tak perlu bimbang lagi.
“Malah, ada hikmahnya dengan kejadian itu kerana ia membuatkan saya dan teman lelaki semakin rapat,” katanya kepada CBS News, dipetik Agensi.
Mengimbas nahas tersebut, dia berkata, kejadian berlaku ketika dia bertugas menjaga anjing milik Justin dan Ashley Bishop.
“Anjing-anjing itu tidak seperti yang saya kenali. Haiwan itu menyeret saya dari pintu depan hingga ke ruang tamu serta menggigit saya hingga hidung, telinga, bibir dan wajah saya koyak sampai ke tulang.
“Pada masa itu, saya hanya ingat saya akan mati namun nasib saya baik apabila diselamatkan dan dikejarkan ke Medical City Plano kira-kira 37 minit selepas itu,” katanya.
Dalam pada itu, pasangan itu menafikan anjing terbabit memberi masalah kepada mereka sekeluarga.
Sementara itu, menurut tuntutan mahkamah difailkan peguam mangsa, Chip Brooker, papan tanda memberi amaran mengenai bayi tidur dan anjing gila menunjukkan pasangan itu sedar haiwan berkenaan berbahaya kepada orang luar.
“Amaran di pintu depan, bagi saya ia menunjukkan mereka tahu kedua-dua anjing ini bertindak agresif kepada orang yang tiba di pintu depan,” ujarnya.
Baca juga: https://malaysiadateline.com/doktor-kongsi-pengalaman-rawat-ramai-orang-muda-kena-serangan-jantung/