Malaysia Dateline

“Zaman PH tiada tindakan guru bersuara, kita jadikan mereka kawan undang ke pejabat”-Maszlee

Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menegaskan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah mengenakan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat kepada mana-mana guru yang menyuarakan pandangan mereka.

Kenyataan itu dibuat dalam satu hantaran dalam aplikasi TikTok susulan dakwaan guru di Sekolah Kebangsaan (1) Gombak, Mohd. Fadli Salleh berhubung tindakan yang akan dihadapinya.

“Saya ingin tekankan satu perkara kepada guru-guru di luar sana, di zaman kita bersama ketika saya di Kementerian Pendidikan, kita tidak pernah mengambil tindakan sedemikian rupa bagi para guru yang bersuara, malah Cikgu Fadli pun lantang bersuara di zaman saya.

“Kita libat (sama) dengan mereka, jadi kawan (dan) undang ke pejabat, bukan beliau sahaja malah ramai lagi yang lain,” kongsinya, hari ini.

Ini kerana katanya pandangan dan suara yang dikemukakan para guru itu sangat diperlukan buat beliau sebagai pembuat dasar dan kerajaan untuk mendengarnya.

Dalam pada itu, Maszlee memberi jaminan tidak akan membiarkan tindakan yang dikenakan ke atas Mohd. Fadli itu tidak akan berlaku lagi kepada guru lain sekiranya PH menang dan kembali ke Putrajaya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, jaminan itu bukan diambil dari sudut kepentingan politik, tetapi hanya mahu membangunkan pendidikan dan menginginkan yang terbaik untuk anak-anak bangsa.

“Untuk beliau sendiri (Mohd. Fadli), saya beri jaminan kalau saya kembali kepada Kementerian Pendidikan, kita akan hapuskan tindakan tersebut dan kita lakukan keadilan bagi semua pihak,” jelasnya.

Terdahulu Mohd Fadli mendakwa dirinya berdepan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat daripada Kementerian Pendidikan dipercayai dengan alasan sering menegur berkaitan isu persekolahan.

Antara permasalahan yang dibangkitkan membabitkan silibus ‘kayangan’ tahun 1 terutamanya berkaitan subjek matematik, jadual padat dan isu beg sekolah berat.

Baca juga: Pernah jumpa Dr Maszlee, Cikgu Fadli dituduh ‘pencacai’ PH-Dah 2022 takkan modal politik macam ni laku lagi?