Malaysia Dateline

Zon hutan 60 hektar di Kampar kekal, selamat dari dijual jadi petak kubur

Zon hutan seluas 60.38 hektar di Lot 22462, Mukim Kampar kekal tidak ditukar kepada zon komersial dengan cadangan awal untuk penjualan petak kubur.

Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, Jawatankuasa Siasatan Tempatan dan Pendengaran serta Pasukan Kajian memutuskan untuk mengekalkan zon hutan tersebut.

Menurutnya, cadangan untuk menukar kawasan hutan itu kepada zon komersial terkandung dalam draf Rancangan Tempatan Daerah Kampar 2030 (Pengubahan 4) iaitu Blok Perancangan Kecil 3.1.

Sebelum ini, jelasnya, pada sesi pendengaran awam, 11 Mac tahun lalu, bantahan pihaknya dibuat kerana dibimbangi boleh menimbulkan impak secara langsung kepada alam sekitar.

Meor Razak Meor Abdul Rahman

“Walaupun status tanah kawasan cadangan adalah tanah milik, kami tetap membantah kerana ciri-ciri geofizikal keseluruhan kawasan cadangan adalah berbukit dan struktur tanah mudah terhakis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tanah lokasi cadangan zon komersial itu juga, jelasnya, merupakan kawasan sensitif kepada sebarang kegiatan yang melibatkan pemusnahan atau pengubahan guna tanah sedia ada.

“Kegiatan pemusnahan (pengubahan) guna tanah yang ketara kepada lain-lain guna tanah di kawasan cadangan terutama semasa kerja-kerja tanah akan menyebabkan permukaan tanah terdedah kepada air larian permukaan dan hakisan lereng semasa hujan lebat yang boleh berlakunya banjir lumpur,” katanya.

Dalam masa sama, Meor berkata, pengubahan guna tanah di kawasan cadangan itu juga dibimbangi akan memudahkan pihak-pihak tidak bertanggung jawab memasuki tanpa kebenaran, menceroboh dan meneroka kawasan Hutan Simpan Bujang Melaka.

Aktiviti itu juga, katanya, dilihat akan memudahkan pencerobohan tanah kerajaan di kawasan persekitaran serta memudahkan laluan kepada pemburu haram.

“Terdapat denai merentas hutan yang dikenali sebagai ‘dragon path’ berhampiran kawasan cadangan yang berpotensi untuk tujuan rekreasi.

“Pemeliharaan dan pengekalan kawasan berhutan yang merupakan warisan semula jadi adalah selari dengan matlamat pemasyuran keseluruhan Daerah Kinta dan Daerah Kampar sebagai Lembah Kinta Geopark.

“Itulah asas bantahan kami agar Pihak Berkuasa Negeri tidak meluluskan Cadangan Pengubahan di Blok Perancangan Kecil (BPK: 3.1), Lot 22462, Mukim Kampar,” tambah Meor lagi.

Baca Kerja melombong pasir di Segari masih ada, NGO desak MB Perak campur tangan