Presiden Pas harap PH tidak lagi ganggu kerajaan, sabar tunggu PRU-15

Oleh ARIF ATAN

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pertukaran Perdana Menteri boleh berlaku tanpa memecahkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, keadaan tersebut sangatlah berbeza dengan Pakatan Harapan (PH) yang tidak mampu menukar Perdana Menteri tetapi terus retak lalu berpecah.

Sehubungan itu, Hadi berharap PH tidak lagi menganggu kerajaan diterajui Ismail Sabri pada masa ini sebaliknya sabar menanti berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Tawaran kepada pihak pembangkang pada awalnya ditolak kerana kerakusan mereka untuk berkuasa semula, akhirnya dapat diterima juga kerana belum lagi menjadi sesal kemudian tidak berguna lagi. Akhirnya tawaran itu diterima, walaupun sebahagiannya sudah ditarik.

“Tindakan tersebut adalah suatu langkah yang sangat bertanggungjawab demi rakyat dahulu diselamatkan, sebelum menunaikan kegelojohan ahli politik.

“Satu keadaan yang sangat positif kepada kabinet baharu dan jentera kerajaan dalam menjalankan tugas, dengan harapan tiada lagi sebarang gangguan daripada PH yang tidak sabar menunggu Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya.

Hadi berkata demikian dalam artikelnya, Minda Presiden Pas bertajuk, “Selamat bertugas Kabinet baru: Tekun dan beristiqamah” semalam.

Bekas Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri itu turut memetik kata orang tua Melayu yang disifatkannya sebagai khufarat.

“Kalau rumah dimasuki biawak atau ular, maka perlu ditawarkan malangnya dengan mengalih tapak rumah.

“Sekiranya ada atap yang terjejas kerana diganggu oleh perompak, maka perabotnya perlu diubah kedudukannya supaya lebih selesa dan selamat, sementara menutup atap yang bocor,” ujarnya.

Menurutnya, walaupun kabinet baharu kerajaan pada masa ini dikatakan sebagai kabinet kitar semula, sebenarnya ia seperti mata rantai yang bersambung daripada gabungan parti yang sama.

“Gabungan parti yang gagal dipecahkan dengan ketukan dindingnya yang kuat, dan gagal dicuri ahli Parlimennya oleh mereka yang menebuk atap.

“Mata rantai boleh ditukar mengikut keperluan dan atap yang retak boleh diganti, bukan dengan merobohkan bangunannya.

“Hal ini disebabkan apa yang berlaku sekarang bukannya membina bangunan yang baharu,” kata Hadi lagi yang turut menganggap PH gagal melakukan tebuk atap untuk menjatuhkan kerajaan PN.

Ahli Parlimen Marang itu bahkan berpendapat tuduhan PH bahawa kerajaan PN telah gagal merupakan suatu pembohongan.