‘Tidak habis-habis musnahkan hutan, Kelantan tidak ambil iktibar bencana bah 2014’

Oleh ARIF ATAN

“Mungkin tidak keterlaluan kalau dikatakan pemimpin-pemimpin dalam kerajaan negeri Kelantan ‘malas’ berfikir sebab hasil hutan terutama balak lebih mudah diperolehi dan hasilnya pun segera.”

Itu pendapat Pegawai Lapangan, Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman mengulas pendedahan aktivis, Pauh Putit berhubung kemusnahan ratusan hektar Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Durian di Kuala Krai, Kelantan.

Menurut Meor Razak, pelaksanaan pembangunan ladang monokultur atau ladang hutan yang diluluskan oleh kerajaan negeri Kelantan telah menjejaskan ekosistem serta mengancam hidupan liar dan masyarakat setempat.

“Apa nak jadi dengan negeri Kelantan ini, tak habis-habis nak musnahkan hutan.

“Pembuat keputusan di peringkat Pihak Berkuasa Negeri langsung tidak menjadikan bencana banjir pada tahun 2014 sebagai ikhtibar dan pengajaran,” tegasnya.

Meor Razak Meor Abdul Rahman

Beliau berkata sukar untuk diterima apabila kira-kira 30 peratus keluasan HSK di Kelantan ditarah untuk tujuan pelaksanaan ladang hutan.

Walaupun, katanya, tidak dinafikan hasil hutan sebagai salah satu pendapatan kepada negeri tetapi ratusan hektar HSK diusahahasil untuk ladang hutan merupakan tindakan rakus dan tamak.

“Adakah pemimpin-pemimpin di negeri Kelantan tandus idea sehingga langsung tidak tahu mewujudkan sumber ekonomi baru sebaliknya hanya bergantung sepenuhnya pada sumber tradisi sahaja?” bidasnya.

Mengulas ucapan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyelitkan Surah al-Rum, ayat 41 dalam Persidangan Perubahan Iklim Bangsa-Bangsa Bersatu (COP-26) 2021 pada bulan lalu, Meor Razak berpendapat makna daripada ayat al-Quran itu sekadar retorik malah jauh sekali untuk dihayati.

“Kalau beliau menghayati dan mengamalkan apa yang diucapkannya, sudah tentu Kelantan terlebih dahulu dijadikan contoh atau model pengurusan alam sekitar yang mampan,” katanya lagi.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan ketika hadir di persidangan COP-26 di Glasgow, Scotland pada 10 November lalu menyampaikan kenyataan negara dalam bahasa Melayu selama empat minit.

Timbalan Presiden Pas itu memulakan ucapannya dengan surah Ar-Rum, ayat 41, yang menerangkan bahawa kerosakan alam berpunca daripada perbuatan manusia, sebelum menyatakan komitmen negara terhadap usaha melestarikan alam sekitar di Malaysia.

Sungai di pedalaman Kelantan juga rosak teruk akibat ratusan hektar hutan simpan ditarah.