Siapa cakap ibu mengandung tak boleh tengok wayang? Respon santai Dr Imelda Balchin buat ramai geli hati

Oleh KIM SYAZIE

Pakar Obstetrik Hospital Pakar KPJ, Dr Imelda Balchin atau lebih popular dikenali sebagai pakar kehamilan yang banyak menjawab hal berkaitan wanita, berkongsi satu soalan yang diterima dari pengikutnya.

Menerusi tangkap layar yang dikongsikan di Facebook, pengikutnya bertanya sama ada selamat atau tidak untuk ibu mengandung menonton wayang kerana dikatakan bunyi yang terlalu kuat tidak selamat untuk bayi di dalam kandungan.

Susulan itu, Dr Imelda bertanya mengapa pula ibu mengandung tidak boleh ke panggung wayang dan secara berseloroh berkata ramai yang dengki dengan ibu mengandung sampaikan hendak bersuka ria sedikit pun tidak boleh.

“Apasal pula tak boleh pi tengok wayang?

“Awat lah ada oghang yang dengki sangat kat ibu-ibu mengandung sampai tak boleh tengok ibu-ibu ni bersuka ria sikit. Nak pi suruh duduk kat dalam perpustakaan ka?

“Adoi lah. Bayi tu kan duduk di dalam kantung yang penuh ayaq ketuban di dalam rahim. Hangpa cuba tengok, benamkan kepala hangpa kat dalam ayaq, macam pi scuba-diving tu, apa yang hangpa boleh dengaq?,” soalnya.

Dr Imelda turut menerangkan jika keadaan di luar terlalu bising, pasti ibu-ibu mengandung yang akan berlari keluar dahulu, dan bunyi di dalam wayang panggung sama sekali tidak mengganggu bayi di dalam kandungan

“Kalau lah bising sangat kat luaq tu, sudah tentu laaa mummy dia yang tak tahan dulu dan akan lari dari tempat tu. Kan.

“Hangpa tau tak apa yang lagi bising untuk bayi yang duduk kat dalam rahim tu ialah mummy dia sendiri terjerit-jerit, bukan wayang kat luaq tu. Terkejut habih lah kalau mummy dia yang terjerit-jerit, kan,” katanya lagi

Respon lucu yang diberikan Dr Imelda mendapat hampir 500 perkongsian dengan lebih 2,9000 tanda suka warga Facebook.

Meninjau ke ruangan komen, ada yang berkongsi pengalaman mereka yang sedang menunggu hari hendak bersalin tetapi sempat lagi menonton wayang.

Ada juga yang mengatakan mereka tidak pernah dilarang sampai ke tahap tidak boleh ke panggung wayang kerana keluarga kedua-dua belah pihak tidak meletakkan pantang larang sebegitu rupa.

Bagaimanapun difahamkan, ada yang mendakwa sesetengah pawagam tidak membenarkan ibu mengandung memasuki panggung wayang jika kandungan sudah sarat.

Baca juga: Netizen kurang senang ibu bapa bawa bayi ke pawagam tengok cerita Mat Kilau, melalak sampai ganggu orang

Baca juga: Kutipan cecah RM12 juta: Sebenarnya filem Mat Kilau belum balik modal, untung pun belum lagi

Baca juga: Tak tahan kedai selalu dipecah masuk, Yoe Parey tutup kedai dan tolong ayah jual budu