Malaysia tidak akan bankrap, paras hutang masih terkawal – Menteri Kewangan

Oleh KIM SYAZIE

Malaysia tidak akan berdepan dengan risiko muflis seperti yang dibimbangi orang ramai kerana pada ketika ini hutang kerajaan berada di tahap terkawal.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata, hutang kerajaan jelas masih terkawal berdasarkan beberapa faktor antaranya kerajaan amat berdisiplin dan tidak pernah gagal membayar faedah serta hutang yang matang walaupun negara melalui beberapa siri krisis kemelesetan ekonomi dan kewangan sebelum ini.

“Ini membuktikan reputasi dan kemampuan Malaysia sebagai penghutang yang mempunyai rekod bayaran balik yang baik.

“Pengurusan hutang secara berhemat juga diterapkan melalui undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Antara undang-undang sedia ada yang digunakan kerajaan adalah Artikel 98(1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan supaya kerajaan sentiasa mengutamakan perbelanjaan berkaitan hutang berbanding perbelanjaan operasi yang lain.

Akta Pinjaman Luar Negeri 1963 memperuntukkan pinjaman luar pesisir tidak boleh melebihi RM35 bilion dengan data pada akhir Jun 2022 menunjukkan hutang ini berjumlah RM29.4 bilion.

Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) (Pindaan) 2021 pula menetapkan bahawa had statutori hutang kerajaan tidak boleh  melebihi 65 peratus daripada KDNK.

Pada akhir Jun 2022, hutang statutori mencatat 60.4 peratus daripada KDNK.

Pada masa sama, Zafrul turut menjelaskan, 97 peratus daripada jumlah hutang kerajaan Persekutuan adalah dalam denominasi ringgit, sekali gus mencerminkan pengurusan hutang berhemat kerana pendedahan kepada risiko tukaran mata wang asing adalah minimum.

Paras hutang yang tinggi, katanya tidak bermakna negara mempunyai risiko  kebankrapan. 

“Pelbagai agensi penarafan antarabangsa seperti S&P Global, Fitch dan Moody’s sentiasa menilai tahap hutang sesebuah negara bersama dengan faktor lain seperti rangka kerja fiskal berhemat, tadbir urus yang utuh dan kedudukan luaran yang baik serta kekukuhan ekonominya.

“Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut mengakui bahawa kedudukan hutang Malaysia masih di paras terurus. 

“Baru-baru ini, S&P menjangkakan bahawa perancangan dasar kerajaan akan menyokong pengukuhan kedudukan fiskal negara,” katanya.

Sementara itu, MOF turut menyangkal dakwaan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab dan berniat jahat bahawa Malaysia bakal menjadi muflis seperti sebuah negara di Asia Selatan baru-baru ini. 

MOF juga katanya telah membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia  Malaysia (SKMM) mengenai beberapa laporan palsu di media sosial mengenai kedudukan hutang negara yang dilihat bertujuan mengelirukan rakyat dan berpotensi untuk menjejaskan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

Baca juga: “Penerangan cap ayam!” – Video Keluarga Malaysia borak pasal harga minyak masak, kena ‘troll’ dengan netizen

Baca juga: Treler muatan besi hempap wanita, anaknya putus kaki serta 12 buah basikal