Tidak sampai sejam, tiket konsert 30 Years of Dewa 19 yang mula dijual Isnin lalu dilaporkan laris terjual sehingga kumpulan itu terpaksa menambah satu lagi tarikh untuk konsert berkenaan bagi tidak menghampakan para peminat mereka.
Susulan keterujaan yang ditunjukkan orang ramai, tidak dinafikan ada pihak-pihak yang tampil menegur kesanggupan peminat berhabis beratus-ratus untuk ke konsert berkenaan.
Tidak terlepas, seorang pemimpin Pas, Ahmad Dusuki Abdul Rani juga meluahkan rasa kecewa dengan sikap segelintir peminat yang teruja untuk menyertai program hiburan berbanding majlis ilmu.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau mempersoalkan mengapa orang ramai teruja untuk mendapatkan tiket yang perlu dibayar sedangkan majlis ilmu keagamaan dan tazkirah yang percuma dibiarkan sunyi sepi dan tidak teruja untuk hadir.
“Mengapa tiket sold out? sebab teruja kan? gemerlapan dunia. Masjid tak perlu tiket pun!
“Majlis ilmu dan tazkirah itu jalan syurga, tak perlu bayar pun tapi mengapa kita tak teruja? sebab akhirat tu jauh? kita dan akhirat senipis kulit bawang je! bersiaplah,” tegurnya.
Sementara itu, ada pengguna Facebook yang berpendapat bahawa sebagai orang berilmu, mereka perlu mencari pendekatan baru dan lebih menarik untuk mengajak orang ramai datang ke masjid.
Mereka mengambil contoh ceramah-ceramah seperti Ustaz Azhar Idrus yang sentiasa menarik minat anak muda untuk turut serta dalam majlis ilmu berkenaan.
“Dulu Raihan berkolaborasi dengan Shiela On 7 pun tiket sold out. Cuba buat macam tu lagi. Naikkan zaman gemilang Raihan, Rabbani,” tulis pengguna Facebook.
Baca juga: Hairan dari mana dapat air panas, penumpang ditegur selamba makan mi segera dalam tren