Caj teh o ais RM5, kedai makan kayangan dekat PD dikenakan kompaun serta merta

Oleh KIM SYAZIE

Sebuah kedai makan di medan selera, Port Dickson tular sejak beberapa hari lalu selepas banyak aduan dari pelanggan yang mendakwa terdapat satu gerai yang menjual makanan dengan harga cekik darah.

Bukan seorang dua, tetapi ramai mengadu menjadi mangsa harga ‘cekik darah’ kedai tersebut. Seorang pengunjung mendedahkan bahawa premis makanan berkenaan mengenakan caj sehingga RM5 untuk segelas teh o ais.

Ada juga pelanggan lain memberitahu, premis tersebut mengenakan caj sehingga RM27 untuk sepinggan nasi putih bersama sotong.

Menerusi perkongsian pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Nik Aisyah, dia meluahkan rasa kesal kerana tidak sangka dia juga akan terkena dengan kedai viral yang mengenakan harga kayangan, walhal dia sudah berhati-hati.

Katanya, ramai memberitahu kedai yang mempunyai banner menjual makanan dengan harga agak mahal, namun tidak sangka pemilik kedai tersebut telah menurunkan banner mereka sehingga dia tidak mengecam kedai tersebut.

“Punyalah berhati-hati dengan kedai makan kayangan viral, sekali kita terkena balik. Duk baca orang viral sebab tengok banner dia. Kita pun makanlah dekat kedai tak ada banner tu, sebab tak ingat nombor kedai dia.

“Rupanya banner atas kedai tu dia cabut. Elak pun terkena juga. Hati-hatilah kalau nak makan kedai Bayu ni. Alert, kedai nombor 10.

“Waktu makan tadi ramai terkena. Mujurlah KPDNHEP ada sekali. Waktu pegawai tu tanya kenapa letak harga macam ini, dia boleh cakap dengan nada tengking ‘kami pun modal tinggi beli barang'” katanya.

Turut dimuat naik ialah resit makanan yang diterima daripada kedai berkenaan yang antaranya tertera RM10 untuk dua gelas teh o ais dan RM6 untuk segelas milo ais.

Dia turut menasihatkan orang ramai berhati-hati supaya tidak menerima nasib sama.

“Janganlah aniaya orang dengan harga macam ini. Portion sikit tapi harga? Kesian dengan pakcik makcik depan kami tu makan dua menu je dia cakap RM40 lebih,” luahnya lagi.

Dikenakan kompaun serta merta

Sementara itu memetik Sinar Harian, KPDNHEP Port Dickson telah pun mengenakan kompaun serta merta terhadap pemilik premis terbabit.

Tindakan kompaun dikenakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Bertindak atas tiga aduan diterima daripada orang awam, pasukan penguat kuasa KPDNHEP Port Dickson telah menjalankan Ops Samar.

“Hasil pemeriksaan mendapati, tiada tanda harga diletakkan di premis dan tindakan kompaun serta-merta telah dikenakan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan melaksanakan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan.

Baca juga: Menyelit dekat laluan kecemasan punya pasal, lori buat tiang elektrik hampir jatuh hempap orang

Baca juga: Kisah ‘influencer’ disaman lepas kongsi gambar bilionaire buat kebajikan, tapi orang kita kalau kaya lain pula perangainya