Tidak ada layanan istimewa untuk banduan VIP- Jabatan penjara

Oleh KIM SYAZIE

Jabatan Penjara Malaysia hari ini menggesa orang ramai untuk menghentikan penyebaran berita palsu berkait dengan layanan istimewa untuk golongan orang kenamaan di dalam penjara.

Perkongsian jabatan penjara itu sekaligus menafikan dakwaan bahawa banduan VIP seperti bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mendapat layanan istimewa di penjara itu.

Ia selepas seorang pengguna Facebook, D’eyo Adie memberitahu bahawa penjara atau bilik tahanan untuk VIP tidak sama seperti bilik banduan biasa.

Bilik penjara untuk VIP dikatakan mungkin lebih baik daripada rumah orang awam di mana mempunyai akses yang lebih hebat seperti diberi kemudahan televisyen, internet, buku, penghawa dingin atau tilam berkualiti tinggi.

Di Facebook hari ini, Jabatan Penjara Malaysia memuat naik tangkap layar catatan yang disebarkan menunjukkan gambar sebuah bilik yang bersih dan luas, lengkap dengan rak dan meja mirip keluaran IKEA dengan tajuk “Penjara untuk VIP”.

“Hentikan penyebaran maklumat palsu,” kata jabatan itu dalam hantarannya di Facebook.

Media sosial dibanjiri dengan komen mengenai kemungkinan Najib menerima layanan VIP di dalam penjara setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukumannya dalam kes SRC International.

Dia dibawa ke Penjara Kajang lewat petang semalam berikutan keputusan mahkamah tertinggi itu.

Memetik FMT, jabatan itu turut memberitahu bahawa tidak akan ada layanan istimewa seperti itu diberikan kepada Najib, sambil menegaskan bahawa semua banduan akan dilayan sama.

Baca juga: Usah sedih! Banduan VIP diberi layanan berbeza, boleh akses internet atau tidur atas tilam berkualiti tinggi

Baca juga: Noor Hisham tegur imej Noh Salleh selamba hisap rokok di KLFW