Selepas menunggu 45 tahun untuk merangkul juara dunia, pasangan badminton negara Aaron Chia – Soh Wooi Yik berjaya mencipta sejarah yang membanggakan apabila kedua atlet itu merangkul emas pada Kejohanan Badminton Dunia yang berlangsung di Tokyo, semalam.
Kejayaan itu membuatkan ramai penyokong sukan tanah air meluahkan rasa bangga melihat kesungguhan dipamerkan mereka. Susulan itu di media sosial kini dibanjiri dengan permintaan agar kerajaan memberikan cuti peristiwa sempena kemenangan yang Malaysia kecapi.
Lebih mencuri tumpuan apabila tular satu tangkap layar yang dikongsi di Facebook memaparkan seorang rakyat Malaysia gigih menghantar mesej peribadi kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk meminta cuti tersebut.
Mesej tersebut yang dihantar menerusi laman sosial Instagram itu membuat ramai terhibur dan menunggu-nunggu apa hasil dari usaha gigih tersebut.
“Salam Datuk Seri. Menjelang hari kebangsaan yang akan tiba beberapa hari lagi, hadiahkan rakyat Malaysia dengan cuti peristiwa sempena kemenangan Beregu Lelaki Malaysia yang menang Kejuaraan Dunia sebentar tadi.
“Gelaran Juara Dunia yang pertama untuk Malaysia sejak penyertaan beberapa tahun yang lalu. Ucapan syukur dan tahniah sekiranya pemberian cuti peristiwa tersebut direalisasikan. Rakyat pastinya akan menghargai pemberian cuti peristiwa tersebut. Mohon pertimbangan sewajarnya Datuk Seri,” tulis individu berkenaan dalam mesej yang dihantar.
Tidak hanya dengan itu, di Twitter pula, pemilik akaun @brgsjks memuat naik ciapan meminta Ismail Sabri memberikan cuti peristiwa sebagai tanda mengingati usaha dua atlet negara yang berjaya muncul sebagai pemain dan gandingan pertama yang bergelar juara dunia.
“Walaupun aku agak terlambat tapi tolonglah Perdana Menteri bagi cuti peristiwa sebab menang badminton sejak 46 tahun. Cuti itu wajib tau,” ciapnya.
Mengikut rekod, kali terakhir beregu lelaki negara mara ke final kejohanan dunia adalah pada edisi 2010 di Paris yang menyaksikan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong tewas kepada Cai Yun-Fu Haifeng dari China.
Baca juga: Tular gambar ustazah Asma dengan Nurul Zahid, netizen pakat kata ‘ok faham dah’