‘Duit beli susu, pampers anak pun harap simpati kawan’ – Ini realiti poket marhaen, netizen kongsi cara elak dompet ‘kering-kontang’

Oleh ARIF ATAN

Ada kalangan rakyat negara pada masa ini rupa-rupanya duit beli susu dan lampin pakai buang anak pun harap simpati kawan lantaran dompet sudah ‘kering-kontang’.

Tidak kurang juga yang sedang buntu dengan hasil tanaman yang tidak menjadi kesan cuaca tidak menentu mengakibatkan wang untuk berbelanja semakin menyusut.

Tempoh pertengahan bulan lazimnya fasa yang perit bagi kebanyakan rakyat berpendapatan rendah khususnya yang makan gaji mahupun yang tidak berpendapatan tetap.

“Dalam dompet tinggal hanya syiling. Dalam bank ada lah juga (duit). Makanlah apa yang ada di rumah,” luah seorang netizen.

Realitinya, sebahagian besar masyarakat negara ini dibelenggu hutang lantaran pinjaman membeli kenderaan atau rumah selain perlu melunaskan pinjaman peribadi atau pendidikan ketika kadar gaji rata-ratanya rendah.

“RM1. Susu, pampers anak terpaksa menagih simpati dengan kawan-kawan,” kata seorang warganet menjawab hantaran sebuah laman Facebook yang memuatkan hantaran mengenai berapa duit yang tinggal di dompet pada masa ini.

Rata-rata warganet walaupun tidak banyak berduit semasa pertengahan bulan tetapi tetapi bersyukur dengan rezeki yang ada.

“Alhamdulillah, ada lah sikit. Tadi jual pisang dan sayur dapat RM129. Syukur ya Allah… Semoga berkat,” kata pengguna Facebook, Kak Hafsah.

Pakar ekonomi telah mengingatkan kerajaan agar segera menangani masalah struktur di negara ini termasuk isu kerentanan pendapatan rakyat dan hutang isi rumah yang tinggi.

Walaupun begitu, lain pula halnya dengan mereka yang tinggal di kampung seperti dikongsikan Rashidi Azmi.

“Ada RM5 saja (dalam dompet) tapi apa ada hal. Kita orang kampung walaupun tak berduit, boleh lagi makan.

“Esok cari pucuk paku, petik kelapa buat masak lemak. Kelapa lebih boleh jual, beli beras saja. Kalau rajin ambil upah kait sawit. Orang kampung tak memilih makan, janji kenyang saja,” jelasnya.

Dalam masa sama, ramai berpendapat kesihatan yang baik lebih utama memandangkan sakit bererti bahawa lebih banyak wang akan mengalir keluar.

“Duit tak banyak tak apa, janji Allah SWT berikan kesihatan yang baik,” kata Halim Ismail.

Meskipun duit cukup-cukup makan sahaja, bukan sedikit yang yakin bahawa sumbangan derma atau bersedekah akan menjadikan diri tidak putus rezeki jauh sekali menjadi papa kedana.

“Dalam dompet cuma ada RM2 saja. Setiap kali pergi surau dan singgah mana-mana masjid, pasti akan keluar untuk sedekah tabung-tabung.

“Tapi yang hairan, dalam dompet sentiasa ada duit. Subhanallah. Alhamdulillah. Amin,” ujar Abdul Samad pula.

Sehubungan itu, ada berkongsikan cara jangka pendek dan panjang untuk memastikan dompet masih mempunyai wang untuk berbelanja sebelum tiba hari masuk gaji.

Paling penting, kata Hasrul CH ialah mengutamakan keperluan dan mengurangkan kehendak dengan menegaskan bahawa derma adalah keperluan.

“Buat budgeting dan beli keperluan yang betul-betul perlu sahaja. Tahan nafsu daripada membeli yang bukan-bukan,” kata Hanum Kamaruddin.

Stok telur sepapan

Ada juga yang menyarankan mereka yang berdepan masalah kewangan untuk mengisi perut merancang bekalan makanan agar tidak kelaparan sementara masuk gaji.

“Simpan stok siap-siap di rumah telur sepapan, minyak, bawang, beras, nanti nak beli yang lain tambah sikit-siki saja.

“Sekarang kena berjimat cermat dan berbelanja secara berhemah. Maklumlah bukan ada pendapatan tetap.

“Kadang ada, kadang tiada tapi tetap bersyukur dengan rezeki yang Allah beri selain terus berusaha. Alhamdulillah,” kata seorang warganet.

Justeru, ada mengesyorkan mereka yang berdepan dengan masalah kewangan agar memulakan langkah untuk berniaga walaupun secara kecil-kecilan atau hanya bagi menjana pendapatan sampingan.

“Berniagalah walaupun kecil-kecilan atau sampingan. Insha-Allah poket tak akan kering kontang walaupun itu duit pusingan niaga, tapi tetap ada. Rezeki Allah itu luas,” kata Zali Saleh Kajang.

Dia juga mencadangkan bagi golongan pekerja tidak terkecuali penjawat awam gred rendah untuk menjual kerepek di tempat kerja masing-masing.

“Beli kerepek pisang atau kacang. Bungkus balik kecik-kecik. Letak di pantri pejabat, letak tabung sekali,” sarannya.

Untuk rekod, pakar ekonomi telah lama mengingatkan kerajaan agar segera menangani masalah struktur di negara ini termasuk isu kerentanan pendapatan rakyat dan hutang isi rumah yang tinggi.

Baca juga Ekonomi dunia 2023 terus dijangka menguncup – Pakar ekonomi tanya ‘are we ready?”

Baca juga Dalam majlis ilmu pun cari dosa, lelaki kantoi main judi atas talian dalam masjid