Doa untuk Malaysia: Ya Allah, lantiklah pemimpin terbaik di kalangan kami

Oleh BORHAN AHMAD

“Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang yang terbaik dalam kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang yang terburuk dalam kalangan kami.”

Dengan doa inilah sepatutnya rakyat negara ini memulakan hidup mereka hari ini apabila 21, 173, 638 pengundi berdaftar bakal mengundi untuk menentukan siapakan 221 Ahli Parlimen mereka dan seterusnya membentuk kerajaan.

Sebahagian dari mereka telah membuat undian awal pada 15 November lalu dan juga melalui undi pos.

Menurut jangkaan terkini para pengkaji politik, iaitu Ilham Centre dan Merdeka Center, Pakatan Harapan (PH) bakal mendapat undian paling banyak.

Namun kedua-duanya tidak sepakat tentang parti yang menduduki tempat kedua. Ilham meramalkan BN manakala Merdeka pula meramalkan PN berada ditempat kedua.

Ilham Centre meramalkan PH akan mendapat 39.2 peratus undi, Barisan Nasional (23.0), Perikatan Nasional (11.3) dan Gabungan Parti Sarawak – GRS (8.1), Warisan (2.7), Gabungan Tanah Air – GTA (0.5), Parti Bangsa Malaysia 0.5) manakala 11,7 peratus pengundi masih belum membuat keputusan.

Merdeka Center juga meramalkan PH akan mendapat kerusi terbanyak iaitu 82 kerusi sekarang dengan 45 kerusi lagi sengit yang tidak boleh diletakkan kepada mana-mana parti.

Berbeza dengan Ilham, Merdeka meramalkan PN yang akan berada di tempat kedua dengan mendapat 43 kerusi diikuti GPS yang mendapat 24 kerusi manakala BN hanya 15 kerusi Parlimen sahaja.

Kajian yang dibuat mereka dari 16 hingga 18 November iaitu sehari sebelum mengundi, Merdeka Center mendapati responden kebanyakannya menyokong PH (33.6 peratus), diikuti PN (20.3 peratus) dan BN (15.4 peratus).

Malam tadi, kesemua parti membuat pecutan terakhir mereka untuk memastikan mereka mendapat pilihan pengundi hari ini.

Anwar melambaikan tangan kepada penyokong beliau di Meow Garden, Tambun malam tadi.

Di Meow Garden Tambun, Perak, malam tadi ribuan pengundi berbaju merah hadir di ceramah grand finale PH bagi mendengar amanat Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hujan tidak mematahkan semangat lebih 10,000 penyokong, dengan sebahagiannya dilihat memegang payung dan memakai baju hujan.

Dalam ucapannya, Anwar antara lain berjanji untuk mengurangkan saiz kabinet jika PH diberi mandat mentadbir negara.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam perutusannya pula mengulangi tekad BN untuk membentuk kerajaan yang stabil dan membawa kemakmuran kepada negara jika diberi mandat sekali lagi.

Kata Zahid, BN telah membentangkan 99 Perancangan Amal dan Usaha (Padu), sebagai tawaran kepada rakyat Malaysia.

Pengerusi PN pula melalui perutusannya, Muhyiddin cuba mengingatkan rakyat Malaysia tentang pentadbirannya ketika menangani pandemik Covid-19 seperti pelaksanaan program vaksinasi, bantuan tunai, bakul makanan dan moratorium khas kepada rakyat.

Anwar telah membuat perutusan lebih awal iaitu jam 6 petang Khamis 17 November lepas. Kini perutusan yang dibuat secara online itu tersebar ke segenap telefon bimbit para pengundi.

Selepas pusat mengundi ditutup pada jam 5 petang, pengiraan undi akan terus diadakan dan keputusan akan mula diterima oleh parti-parti politik melalui wakil mereka yang menjadi Agen Pengiraan Undi (Caunting Agent) di pusat-pusat pengundian.

Mulai jam 6.30 keputusan bakal sampai ke bilik-bilik gerakan parti-parti politik dan akan mula dihebahkan kepada orang ramai.

Menjelang jam 9 malam, kebiasaannya, parti-parti politik akan mula merasai apakah mereka akan menang atau tidak dalam pilihan raya ini.

Dalam PRU-14 lalu, PH mengesahkan mereka akan menjadi kerajaan pada tengah malam dan menunggu keputusan rasmi dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

BACA JUGA 6 FAQ anak muda: Isu Cina DAP dalam Pakatan Harapan

JUGA Tular video lelaki zalim belasah isteri setengah mati, polis sahkan sudah buka kertas siasatan

DAN JUGA PH didepan dengan 87 kerusi, 26 kerusi masih jadi rebutan, ramal Ilham Centre