Malaysia Dateline

Adakah ‘kerajaan bendera putih’ berulang sekali lagi selepas PRU 15 ini?

Jika Tan Sri Mahiaddin Md Yassin dilantik kembali sebagai Perdana Menteri selepas proses pertemuan di Istana Negara petang tadi, seperti yang berlaku pada 2020, maka akan terbentuklah sekali lagi ‘kerajaan bendera putih’.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad berkata, ramai rakyat yang sengsara ketika berada di bawah pentadbiran Mahiaaddin sehinggakan ada berlakunya peristiwa bunuh diri dan terhasil cadangan untuk menaikkan bendera putih supaya rakyat sendiri membantu golongan terdesak selepas kerajaan gagal membantu.

Kerajaan Mahiaaddin kemudiannya jatuh melalui kempen #KerajaanGagal setelah 15 MP Umno menarik balik sokongan mereka.

“Jika Mahiaddin dilantik, ia akan mengulangi sejarah hitam lalu kerana terbukti dia dan PN tidak mampu memerintah dengan baik. Sepanjang kepimpinan beliau yang dipentingkan hanya ingin kekal berkuasa”.

“Perlantikan beliau sebagai Perdana Menteri kali ini tidak seharusnya berlaku kerana yang mendapat kerusi terbanyak dan jumlah undi terbanyak adalah Pakatan Harapan,” kata beliau.

Pakatan Harapan juga mempunyai jumlah ADR yang berbilang kaum dan agama, selari dengan keadaan masyarakat majmuk negara ini, katanya.

Khalid mengulas dakwaan Mahiaddin bahawa beliau mendapat sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.

“Sedangkan, jika ia berlaku, apa gunanya Akta Lompat Parti yang telah digubal dan diluluskan sebelum ini? Ianya hanya boleh berlaku sekiranya ada ADR yang langgar pendirian resmi parti.

“Sedangkan kita semua tahu, undi sepatutnya diberikan berdasarkan blok parti politik atau keputusan parti dan bukan individu ahli Parlimen parti berkenaan,” kata beliau.

Khalid mencadangkan, dalam keadaan sekarang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan peluang untuk menjadi perdana menteri selepas Pakatan Harapan berjaya mendapat kerusi dan undi terbanyak.

“Saya yakin jika beliau dilantik sebagai Perdana Menteri, dalam tempoh terdekat, sokongan ke atas beliau akan bertambah berdasarkan wawasan pemulihan dan penambahbaikan yang ingin dilakukan beliau”, kata Khalid.

Mahiaddin hari ini menolak cadangan Yang Dipertuan Agong agar kerajaan perpaduan dibentuk di kalangan semua pihak di negara ini bagi membentuk kerajaan yang stabil dan harmoni.

Cadangan itu dibuat secara bertulis oleh Yang Dipertuan Agong dan ditolak oleh Mahiaddin dengan alasan mereka tidak mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

BACA JUGA Kerajaan perpaduan: “Saya akan patuh titah Agong,” kata Anwar

JUGA Kerajaan perpaduan nasional perlu dibentuk segera

DAN JUGA Anwar risau sentimen perkauman yang panas di TikTok