Anak muda cadang berdebat, tetapi Johari Ghani tolak

Oleh BORHAN AHMAD

Selepas Datuk Seri Ismail Sabri menolak cadangan berdebat dari Datuk Seri Anwar Ibrahim, cadangan NGO anak muda, agar calon Barisan Nasional di Titiwangsa berdebat dengan lawannya dari Pakatan Harapan ditolak oleh Datuk Johari Ghani (BN) walaupun diterima oleh Khalid Abd Samad (PH).

Johari memaklumkan penolakan itu kepada wakil pihak penganjur yang terdiri dari tiga NGO anak muda, bahawa dia tidak mahu berdebat dengan calon Pakatan Harapan di Titiwangsa Khalid Abd Samad.

“Saya tidak mahu berdebat dengan dia kerana dia selalu cakap pusing-pusing,” dakwa Johari kepada wakil tiga NGO anak muda itu.

Ia lantas dijawab oleh wakil NGO itu dengan berkata, “Sebab itulah kena berdebat Datuk. Cakap depan-depan.”

Wakil NGO anak muda menyerahkan surat jemputan debat kepada Datuk Johari Ghani, namun beliau menolak untuk berdebat dengan Khalid.

Tiga NGO anak muda menganjurkan debat itu. Mereka adalah Rakan Siswa, Arus Anak Muda dan Undi 18. Mereka telah menyewa tapak debat iaitu di Kelab Sultan Sulaiman yang terletak di Kampung Bharu dan mereka mencadangkan agar debat itu diadakan pada jam 8.30 malam 13 November (esok).

Debat itu dicadang diadakan di bawah tema Jelajah Demonkrasi dengan tajuk “Debat Wilayah – Kelangsungan Hidup Anak Muda: Apa Masa Depan Mereka.”

Khalid telah menyatakan persetujuan beliau untuk menyertai debat itu ketika menerima surat jemputan dari pihak penganjur berkenaan.

“Saya telah terima surat jemputan ini…. Saya mengesahkan bahawa saya akan hadir,” kata Khalid kepada wakil penganjur itu.

Khalid menerima surat jemputan untuk berdebat dan setuju untuk hadir.

Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mencadangkan agar diadakan debat antara calon-calon perdana menteri menjelang pilihan raya kali ini.

Namun, calon PM dari Barisan Nasional (BN), Ismail Sabri telah menolak cadangan ini dengan berkata, “ini bukan budaya kita.”

Debat antara calon adalah sesuatu yang biasa di negara-negara maju namun di Malaysia ia sentiasa ditolak oleh pihak pemerintah.

PERBEZAAN PENDAPAT

Sebelum ini berlaku pendebatan secara jauh antara Johari dengan Khalid dalam pertembungan di Titiwangsa ini.

Antaranya Khalid menafikan beberapa dakwaan Johari dalam isu Kampung Sungai Baru. Ini berikutan tindakan kerajaan merampas tanah penduduk di situ dengan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960.

Penduduk Kampung Sungai Baru yang terletak di bawah Parlimen Titiwangsa membantah tindakan merampas tanah mereka dengan pampasan yang rendah.

Khalid meminta Johari tunjukkan di mana peruntukan di dalam Akta Pengambilan Tanah 1960 yang menunjukkan bahawa pengambilan tanah boleh dibuat selepas minima 89% orang pemilik bersetuju?

Khalid juga mendakwa, syarikat pemaju Ritzy Gloss yang diberi hak pada tahun 2016 untuk memajukan Kampung Sungai Baru merupakan syarikat yang dilantik oleh Johari dan timbalannya Affendi Zahari yang merupakan Pengerusi Perbadanan Kampung Baru (PKB) ketika itu.

“Kenapa kemudian seolah-olah mencuci tangan di atas onar yang dibuat sendiri?” kata Khalid dalam satu sidang media beliau bagi menjawab tuduhan Johari.

Khalid juga menolak dakwaan Johari bahawa beliau hanya ahli Parlimen yang pandai melalak dan melolonmg sahaja.

“Saya minta agar beliau menarik balik kenyataan yang menghina pengundi Shah Alam yang telah memilih saya selama 3 penggal, sedangkan beliau sendiri kalah pada PRU14 yang lalu,” kata Khalid.

Bagi Khalid, pembangunan Kampung Baru merupakan sebuah pembangunan terancang meliputi kawasan yang besar, justeru ia tidak boleh disamakan dengan hanya sekadar membangunkan sebuah bangunan seperti Legasi.

“Ia ibarat seperti seorang yang telah berjaya membina sebuah rumah lalu mendakwa telah berjaya membangunkan sebuah taman perumahan,” katanya.

Bagi Khalid, kalau benar beliau bukan satu ancaman, Johari tidaklah perlu menyerang beliau setiap hari “seolah-olah saya adalah ancaman yang besar pula,” dan kini tidak sanggup berdebat.

BACA JUGA Kelas Demokrasi diteruskan di luar UiTM, giliran UM pula malam ini

JUGA ‘Telur pun tak pandai jaga, lagi mahu sembang ekonomi negara berkembang’

Pemimpin Pas mohon maaf lepas kata undi PH, BN masuk neraka