Malaysia Dateline

Anggota Jabatan Laut didakwa buat tuntutan palsu kerja lebih masa, elaun perjalanan berjumlah RM670.51

Gara-gara didakwa menipu majikan dengan membuat tuntutan palsu kerja lebih masa dan elaun perjalanan membabitkan jumlah RM670.51, seorang kakitangan Jabatan Laut Malaysia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini.

Memetik laporan Sinar Harian, tertuduh, Hazreen Mohd, 40, didakwa melakukan perbuatan itu dua tahun lalu namun tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Menurut pertuduhan pertama, Hazreen yang bertugas sebagai Pembantu Laut Gred 22 didakwa dengan niat memperdaya majikannya dengan membuat tuntutan bayaran lebih masa sebanyak RM359.41 bagi tugasan penjagaan Rumah Api Bukit Segenting, Batu Pahat pada April 2020 sedangkan tertuduh tidak melakukan perkara tersebut.

Bagi pertuduhan kedua, dia turut didakwa membuat tuntutan elaun perjalanan palsu berjumlah RM311.10 bagi April 2020 bagi tugasan sama sedangkan tertuduh tidak melaksanakan tugas itu.

Atas kedua-dua kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Dalam rayuannya, tertuduh yang telah berkhidmat selama sembilan tahun dengan agensi berkenaan memberitahu menanggung seorang isteri, tiga anak dan ibu yang sudah uzur.

“Selain turut menanggung hutang arwah ayah yang sudah meninggal dunia pada Mei lalu, saya juga kini digantung tugas dan hanya menerima separuh bulan gaji,”.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 29 September depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Baca juga: Tolonglah tuntut khairat kematian dari ASB walau baki cuma ada RM10, asalkan ada akaun, masih boleh tuntut

Baca juga: Pihak manakah yang bercelaru sebenarnya? 3 fakta ini menunjukkan Pas sebenarnya bercelaru