Malaysia Dateline

Calon PM saya Anwar Ibrahim, siapa calon PM awak, tanya Khalid kepada Johari

Ketika calon Pakatan Harapan di Parlimen Titiwangsa Khalid Samad menegaskan calon perdana menteri beliau adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon Barisan Nasional Datuk Seri Johari Ghani belum menamakan siapa calon PM beliau.

Khalid ketika menyertai debat antara beliau dengan Johari dengan jelas berkata, Anwar adalah calon PM bagi beliau ketika kempen di Titiwangsa panas apabila dikatakan ‘satu undi untuk Johari bermakna satu undi untuk Zahid Hamidi menjadi perdana menteri’.

“Sebagai Ahli Parlimen Titiwangsa nanti, saya berjanji akan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri.

“Jadi saya nak tahu siapa calon PM Johari Ghani,” kata Khalid ketika membaca menifesto beliau dalam ucapan di majlis debat tidak jadi antara beliau dengan calon BN Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Bharu malam tadi.

Bagi Khalid, antara tiga calon PM yang ada iaitu Zahid Hamidi, Ismail Sabri dan Anwar Ibrahim, “Anwar yang terbaik.”

Walaupun Zahid berkata, dia bukan calon PM tetapi Ismail Sabri, “Tetapi hakikatnya semua orang tahu calon PM bagi BN adalah dia” kata Khalid.

Bagi Khalid, calon kedua PM adalah Tan Sri Mahiaddin Md Yassin yang termasyhur dengan pembentukan kabinet yang terbesar di Malaysia.

“Hampir 80 orang anggota kabinet sampai tak cukup back bencher dalam Parlimen. Sanggup lantik ramai jadi menteri semata-mata untuk dapat sokongan.

“Orang macam ini tidak pentingkan negara dan sanggup isytihar darurat ketika Agong sudah titah panggil sidang Parlimen kerana takut undi tak percaya,” kata Khalid.

JOHARI TOLAK DEBAT

Debat antara Khalid dan Johari yang sepatutnya berlangsung malam tadi tidak menjadi kenyataan apabila Johari tidak datang.

Program debat ini dianjurkan dalam siri Jelajah Demokrasi yang dianjurkan oleh tiga NGO anak muda iaitu Rakan Siswa, Arus Anak Muda dan Undi 18.

Sehingga debat bertajuk “Kelangsungan Hidup Anak Muda: Apa Masa Depan Mereka” hendak dimulakan, pihak sekretariat Debat Wilayah ini tidak mendapat apa-apa maklumat rasmi dari Johari.

Poster Debat Wilayah yang dianjurkan 3 NGO anak muda.

Menurut Khalid, ada staf beliau memberitahu, Johari ada menghantar satu surat kepada beliau memaklumkan dia menolak untuk berdebat dengan Khalid.

“Dia kata, kalau dengan Anwar Ibrahim atau Rafizi dia sedia berdebat, Khalid Samad ni siapa.

“Kalau kamu nak berdebat dengan Anwar pergilah bertanding di Tambun. Kalau kamu dak berdepan dengan Rafizi pergilah bertanding di Pandan, kalau kamu itu hebat sangat.

“Kini kamu berdepan dengan saya di Titiwangsa, jadi datanglah ke sini,” kata Khalid.

Bagi Khalid, Johari sepatutnya datang menyatakan pendirian beliau dalam banyak isu bukan lari dari berdepan dengan rakyat.

“Kenapa dia tak datang? Kerana dia anggap pengundi sudah ada dalam tangan dia. Jadi dia tak mahu datang. Ini bagi saya sifat yang tidak baik sebagai seorang wakil rakyat.

“Kalau macam inilah sikap beliau, bila-bila pun dia akan tinggalkan pengundi beliau selepas dia menang nanti,” kata Khalid.

Khalid menyertai debat ini ekoran dakwaan beliau bahawa inilah kali pertama dalam lapan pilihan raya yang disertainya, calon lawan beliau banyak memutarbelitkan fakta dan angkuh.

“Dia sanggup menipu secara terang misalnya dalam isu Kampung Sungai Baru sedangkan orang yang terlibat masih hidup dan masih mampu bersuara,” kata Khalid memulakan ucapan dalam cadangan debat tetapi Johari tidak hadir itu.

Menurut Khalid, Johari mendakwa, isu Kampung Sungai Baru itu Khalid Samad punya masalah.

“Padahal dia tidak menghalang penduduk Sungai Baru menandatangani perjanjian penjualan tanah mereka yang berat sebelah ketika di jadi menteri.

“Padahal dia tahu apa yang berlaku dan penduduk Kampung Sungai Baru ini masih hidup dan tahu apa yang berlaku.

“Mereka tahu siapa yang bercakap dengan penduduk yang memujuk mereka menandatangani perjanjian itu.

“Kalau orang dah mati satu hallah, tetapi mereka masih hidup dah boleh bercerita lagi bagaimana pemaju mula memujuk mereka mulai tahun 2016.

“Datuk Johari ketika itu Menteri Kewangan 11 dan Afendi, timbalan ketua Umno bahagian Titiwangsa, timbalan beliau adalah Pengerusi Perbadanan Kampung Bharu.

“Dia serta Ketua Cawangan Umno di situ dan PKB bekerja keras memujuk pemilik tanah di situ tanda tangan perjanjian itu,” kata Khalid.

Menurut Khalid, pemilik tanah Sungai Baru telah datang kepada beliau apabila mereka berdepan dengan Akta Pengambilan Tanah 1960 yang digunakan oleh kerajaan untuk mengambil tanah di situ.

“Kalau saya punya masalah, kenapa mereka datang kepada saya, kenapa mereka tidak jumpa Johari,” tanya Khalid dalam penjelasan beliau dalam debat yang tidak jadi itu.

Dalam ucapannya malam tadi, Khalid berjanji akan membatalkan warta penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk merampas tanah Kampung Sungai Baru.

“Oleh kerana ia ditandatangani oleh menteri, menteri akan datang boleh membatalkannya,” kata Khalid.

BACA JUGA Khalid titipkan Shah Alam kepada Azli Yusof selepas 3 penggal berkhidmat

JUGA Anwar lebih berketerampilan jika dibandingkan dengan Mahaiddin, Zahid, Ismail sebagai PM

DAN JUGA Lebih 1 juta kali ditonton, netizen terhibur tengok burung bertenggek atas rambut lelaki yang disangka sarang