Malaysia Dateline

Anwar diminta abaikan Mahathir, laksana sebanyak mungkin reformasi

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinasihat untuk mengabaikan kekhuatiran Tun Dr Mahathir Mohamad yang ragu-ragu terhadap keupayaannya untuk mengetuai Malaysia dalam usaha memulihkan ekonomi pasca pandemik Covid-19.

Veteran DAP, Lim Kit Siang mengingatkan Anwar supaya beliau sedar terdapat banyak kuasa-kuasa politik yang sedang cuba untuk menamatkan riwayat kerajaannya seawal yang mungkin.

Baginya, Anwar perlu menghayati pengajaran paling penting dari kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan lalu dengan melaksanakan sebanyak mungkin reformasi institusi, mengambil kira kerajaan yang ada ini tidak semestinya akan bertahan selama lima tahun.

“Mahathir telah terlepas peluang untuk berbuat demikian dan Anwar tidak boleh mengulangi kesilapan sebegini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata, walaupun kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Mahathir sebelum ini ditumbangkan secara tidak sah melalui konspirasi politik Langkah Sheraton, Mahathir sendiri tidak boleh mencuci tangannya daripada bertanggungjawab terhadap konspirasi ini.

Mahathir berganding bahu dengan PH dan seterusnya mengetuai gabungan itu dalam memenangi Pilihan Raya Umum (PRU-14)di mana Barisan Nasional (BN) tumbang.

Mahathir baru-baru ini mempersoal keupayaan Anwar untuk mengetuai Malaysia dalam usaha negara memulihkan ekonominya dan berdepan cabaran pasca pandemik.

Bekas Perdana Menteri itu khuatir dengan kemampuan Anwar menghasilkan strategi dan kaedah terbaik untuk keluar daripada krisis, apatah lagi fokus Pengerusi PH itu dilihat tertumpu kepada usaha mengekalkan jumlah sokongan di Dewan Rakyat.

Dr Mahathir berkata, ia terbukti berdasarkan pretasi Anwar ketika berada dalam kerajaan lebih 20 tahun lalu dan mendakwa bekas timbalannya dalam Kabinet ketika itu tidak dapat menangani masalah ketika menjadi pemangku Perdana Menteri pada 1997.

Pelaksanaan reformasi lebih penting dari melayan Mahathir, kata Kit Siang.

Bagaimanapun Lim meyakini Anwar melakukan perkara yang tepat apabila dia menguji kepercayaan sebagai Perdana Menteri dalam sidang dua hari pada minggu lalu.

“Dia patut menjadikan sidang Dewan Rakyat pada Februari 2023 sebagai sebuah sidang yang paling penting dan bersejarah dengan melaksanakan beberapa reformasi institusi dengan cara memulakan proses untuk menghentikan kemerosotan negara dalam enam dekad yang lepas untuk mengembalikan tempat Malaysia sebagai sebuah negara majmuk hebat yang bertaraf dunia,” katanya lagi.

BACA JUGA Mahathir tanam ‘doktrin’ bencikan DAP selama 22 tahun

JUGA Anwar perlu abaikan Mahathir dan laksana sebanyak mungkin reformasi institusi