Bapa politik lompat rasa sedih bila jadi mangsa lompat, kata Khalid

Oleh KIM SYAZIE

Pada semalam, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Mahiaddin Md Yasin meluahkan rasa kecewa terhadap pemimpin Bersatu Sabah yang dikatakannya sebagai tidak setia kepada parti kerana bertindak keluar dari gabungan itu.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada 10 Disember mengumumkan keluar parti bersama empat wakil rakyatnya kerana melihat penting untuk negeri itu menyokong penuh Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Susulan kekecewaan diluahkan Mahiaddin atas ‘ketidaksetiaan’ itu, Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad mengatakan bahawa Ahli Parlimen Pagoh itu lupa bahawa dirinya juga pernah melompat keluar dari Pakatan Harapan.

Khalid juga melabel Mahiaddin sebagai ‘bapa politik lompat’ yang sedang bersedih kerana akhirnya menjadi mangsa kepada langkah yang dimulakannya dahulu.

“Kesian kat dia. Dah meraban. Dia lompat keluar PH dulu dia tak ingat. Bersama 14 pengkhianat dari PKR.

“Dia ingat bila dah diberi jawatan maka orang akan setia? Dia lupa dulu dia pun menteri kanan tapi lompat juga.

“Bapa politik lompat rasa sedih bila menjadi mangsa lompat,” ciapnya di Twitter pagi ini.

Pada Februari 2020, Mahiaddin dan sebahagian besar ahli PKR bersama-sama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bertindak keluar parti bertujuan menumbangkan PH selepas gabungan berkenaan menerajui kerajaan selama 22 bulan.

Mereka kemudian bersama-sama Pas dan Umno membentuk Kerajaan Perikatan Nasional di tengah-tengah kemelut pandemik Covid-19.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Oktober tahun ini membuat pengakuan beliau yang memulakan langkah bagi menghentikan rancangan PH dengan membincangkan kaedah menggulingkan gabungan berkenaan bersama Mahiaddin.

Mahiaddin kini sedang berdepan siasatan dakwaan salah guna wang RM600 bilion dana kerajaan ketika pandemik Covid-19 dua tahun lalu.

Bagaimanapun siasatan terarah kepada dana sebanyak RM92.5 bilion sahaja kerana selebihnya wang berjumlah RM437.5 bilion bukan daripada kerajaan.

Anwar sebelum ini berkata, sebahagian dari RM600 bilion itu adalah duit rakyat yang dikeluarkan dari KWSP bukannya duit yang kerajaan belanjakan sebagaimana didakwa PN dalam kempen pilihan raya mereka.

Baca juga: ‘Engkau sebar RM600 bilion, sekarang kata mengelirukan’

Baca juga: Mengapa masih terperdaya dengan dakyah membenci Kerajaan Perpaduan? Ini 6 soalan buat ‘walaun’, ‘mujahid’ Tiktok PN