Malaysia Dateline

Datuk empat cucu ini sudah menderma lebih 200 kali, anda bila lagi?

Seorang datuk di Kelantan yang sudah mempunyai empat cucu sudah menderma darah lebih 200 kali sepanjang usianya.

Mat Hussin Yusof, 58, yang memiliki darah jenis A berkata, beliau mula menderma darah pada usia 21 tahun dan sebanyak 125 kali dilakukan untuk Unit Perubatan Transfusi (UPT) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Menurutnya, sejak itu beliau menderma darah dan meneruskan niat menyumbang kepada pesakit HUSM ketika mendaftar bekerja sebagai Pembantu Awam di hospital itu pada 15 Ogos 1984.

Kakitangan Bahagian Perkhidmatan Dobi, HUSM Kubang Kerian itu memberitahu, beliau sudah mempunyai lima buku rekod derma darah.

Bapa kepada enam anak itu juga nekad meneruskan rutinnya menderma selama tiga bulan sekali bergantung kepada tahap kesihatannya sejurus bersara pada 20 September ini.

“Tiada lain yang saya fikirkan selain dapat menyelamatkan pesakit. Sehingga kini sudah sembilan kali saya menderma darah ketika pesakit benar-benar memerlukan walaupun tidak mengenali mereka secara peribadi,” dipetik Sinar Harian.

Buku derma darah pertama Mat Hussin.

Sementara itu, laman Facebook rasmi Hospital USM Network turut menitipkan penghargaan buat Mat Hussin dengan menyifatkan beliau sebagai “wira tidak didendang”.

“Tidak pernah mengharapkan jasanya disanjung, jauh sekali diberi anugerah atau pingat, namun bagi lelaki bersosok tubuh kecil dikenali sebagai Mat Hussin Yusoff, 58, kehidupannya bagaikan tidak lengkap sekiranya beliau tidak menderma darah,” kata pihak hospital itu.

Untuk rekod, satu beg darah yang didermakan dan akan diproses menjadi tiga komponen darah iaitu sel darah merah, platelet dan plasma mampu menyelamatkan tiga nyawa.

Pendermaan darah dengan tetap setiap tiga bulan juga dapat mengurangkan risiko sakit jantung, terutama bagi golongan lelaki.

Dalam masa sama, penderma darah mempunyai banyak keistimewaan termasuk wad secara percuma di hospital atau klinik kerajaan.

Jika sudah menderma sekurang-kurangnya dua kali dalam tempoh 12 bulan, penderma darah boleh mendapatkan suntikan vaksin terhadap penyakit Hepatitis B secara percuma.

Jadi, tunggu apa lagi? Jika layak menderma darah antaranya sihat tubuh badan, tidur sekurang-kurangnya lima jam dan tidak terlibat dengan sebarang kegiatan seks berisiko tinggi, anda juga boleh menurut jejak Mat Hussin dan ramai penderma budiman di luar sana.

Baca juga Doktor kongsi rahsia aliran darah otak yang baik

Baca juga Tiga daripada 10 rakyat Malaysia hidap tekanan darah tinggi, cuba petua orang kampung ini