Baru-baru ini seorang pengguna Facebook ada memuatnaik satu tangkap layar berkenaan seorang doktor yang didakwa menghisap vape untuk mempromosi kempen berhenti merokok kepada orang ramai.
Hantaran yang dikongsi Mohamad Haniki Nik Mohamed itu telah menarik perhatian ramai dengan rata-rata terkejut dan mengkritik tindakan doktor berkenaan.
“Doktor perubatan hisap vape promosi berhenti rokok? Menda tak lulus KKM boleh buat main-main. Bila tegur jawapan standard penjual produk sampah!,” tulis Haniki.
“Allahuakbar! Sangat memalukan profesion doktor! Nak suruh orang jadi penagih nikotin ke,” komen pengguna Facebook yang lain.
Hasil semakan Malaysia Dateline, doktor yang dikenali sebagai Mohd Aizul Hafizi Ismail memang ada memuatnaik rakaman menghisap vape dengan kapsyen berbunyi “Tobacco smoking memudaratkan kesihatan, ayuh stop sekarang”. Ianya masih disiarkan di laman Instagram dr.aizulhafizi.
Susulan itu Haniki ada meninggalkan komen bertanya adakah dia benar-benar seorang doktor perubatan. Haniki juga bertanya sama ada doktor itu tahu atau tidak bahawa Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Australia dan juga Malaysia masih belum meluluskan sebarang rokok elektronik sebagai kaedah berhenti merokok.
Komentar itu kemudian mengundang kemarahan doktor tersebut yang melabel Haniki sebagai hati busuk dan hitam. Dia sempat mempersoal Haniki mengapa selepas begitu banyak post yang telah dia siarkan, hanya video itu sahaja yang diulas.
“Cuma 1 je saya nak tegur. Saya ni bukan baru post 1 video, banyak video pendidikan kesihatan yang lain yang baik-baik tak ada pula encik nak komen. Sebab apa? Sebab hati hitam dan busuk. Lebih tertarik dengan benda-benda negatif dan bercakap benda-benda yang mengkritik.
“Kadang-kadang muka boleh bela janggut untuk nampak soleh tapi hati busuk dan hitam tak boleh tutup dengan lontaran bahasa dan dengki,” balasnya di komen individu berkenaan.
Bagaimanapun komen tersebut tidak dapat diakses dan doktor berkenaan telah pun menutup ruangan komentarnya.
Baca juga: Baju sekolah nipis, jarang, bapa sedih dengan kualiti baju sumbangan untuk pelajar