Masih ada lagi segelintir pemandu Malaysia yang bersikap pentingkan diri dan mengambil kesempatan mengekori ambulans untuk melepaskan diri dari kesesakan jalan.
Perkara ini pernah menjadi isu kerana banyak kali segelintir pemandu menjadikan ambulans sebagai peluang untuk meredah kesesakan lalu lintas.
Perbuatan itu sebenarnya tidak bertanggungjawab kerana cuba memanipulasi keadaan seolah-olah pesakit di dalam ambulans mempunyai pertalian dengan pemandu tersebut.
Menerusi satu rakaman yang dikongsi Isu Semasa Viral di Twitter, sebuah kereta Perodua Bezza berwarna biru dikecam oleh orang ramai selepas bertindak mengikut rapat sebuah ambulans dalam satu kesesakan jalan raya.
Rakaman pendek berdurasi 56 saat itu memperlihat situasi jalan di mana kenderaan lain semuanya memberi laluan kepada ambulans tetapi kereta bernombor plat pendaftaran VBF pula mencucuk rapat ambulans tersebut.
Tanpa disangka, datang sebuah lagi ambulans dari belakang Bezza berkenaan menyebabkan ambulans tersangkut dan tidak dapat melepasi jalan kerana terhalang oleh kereta tersebut.
Pemandu kereta itu dilihat cuba menyelit antara kereta lain namun tidak lepas dan tiada ruang. Video itu kemudiannya tular dan ada yang mendakwa kemungkinan pemandu adalah pemandu Grab.
Grab dalam maklum balas pada komen berkenaan memberitahu, pihaknya telah menerima laporan yang berkaitan dan perkara tersebut sedang dalam siasatan lanjut.
Baca juga: Kes Najib cetus idea buat kartunis berkarya
Baca juga: Pendakwah bagi amaran agar kerajaan batal konsert Blackpink di KL, atau himpunan akan digerakkan