Malaysia Dateline

Ismail lepaskan peluang keemasan untuk pulihkan keyakinan terhadap negara

Selepas pertemuan bersejarah pemimpin pembangkang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub baru-baru ini, peluang terbuka cerah untuk membolehkan krisis keyakinan kepada kepimpinan negara pulih.

Rakyat juga dari pelbagai sektor memberikan sepenuh harapan agar kerajaan yang ada akan stabil dan sangat berharap kebajikan rakyat akan diberikan perhatian sepenuhnya.

Namun, PM Ismail nampaknya tidak mengambil peluang itu sepenuhnya untuk membuat perubahan persepsi kepada kerajaan gagal yang dilebelkan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Sepatutnya Ismail memberitahu kepada seluruh rakyat bahawa kerajaan ini bukan lagi kerajaan PN yang gagal dahulu. Ia sudah berubah dan bersedia untuk berubah bagi membolehkan negara kita keluar dari pandemik Covid-19 dan akibatnya kepada ekonomi negara.

Ia sepatutnya dimulakan Ismail melalui pembentukan kabinet beliau yang diumumkan kelmarin dan akan mengangkat sumpah Isnin ini.

Hampa. Awak telah melepaskan peluang terbaik. Itulah reaksi rakyat negara ini terhadap kabinet yang diumumkan oleh Ismail.

Bahkan awak telah mengangkat semula menteri yang disebut dengan jelas oleh Yang Dipertuan Agong sebagai menteri yang cuba mengelirukan rakyat dan negara.

Tanyalah siapa sahaja di negara ini dan itulah jawapan mereka. Sudahlah media luar sudah melebelkan kerajaan korup bakal kembali berkuasa di negara ini apabila Ismail dilantik sebagai PM, kini Ismail sendiri sudah menolak sedikit sinar yang cuba diberikan kepada negara melalui pertemuan dengan pemimpin pembangkang yang mempunyai 105 sokongan dari 220 anggota Dewan Rakyat itu.

Bacalah pandangan pelbagai pihak terhadap pengumuman barisan kabinet Ismail yang kekal terlebih sais dan mengekalkan muka lama yang jelas gagal itu.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sendiri menganggap senarai anggota Jemaah Menteri yang diumumkan semalam, tidak memberangsangkan.

Beliau mengharapkan agar PM Ismail akan membentuk satu Kabinet bipartisan atau merentas parti ketika waktu pandemik ini.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai sokongan 105 ahli Dewan Rakyat, kurang sembilan dari Ismail, juga turut melahirkan kekecewaan beliau selepas Ismail mengumumkan kabinetnya.

Beliau menyifatkan kebinet baru yang dibentuk ini tidak mampu untuk menyuntik semangat baru bagi menyakinkan pelabur dalam atau luar negara.

Menurut Anwar, menteri yang ada sekarang merupakan mereka yang berada dalam kabinet sebelum ini yang mana lebih satu setengah tahun tidak ada kemajuan yang membanggakan.

Anwar yang berharap satu perubahan yang berlaku dalam pembentukan kabinet baru ini selepas pertemuan beliau serta dua rakannnya dengan Ismail, tetapi ia tidak berlaku.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa pula berkata, harapannya yang mahukan kabinet bersaiz kecil dan menteri-menteri berprestasi lemah diganti, nampaknya tidak tercapai.

“Harapan saya Kabinet yang akan diumumkan bersaiz kecil. Tukar mereka yang berprestasi lemah. (Buat) pelantikan atas merit. Tiada lagi Duta Khas bertaraf Menteri dan menteri yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditukar.

“Malangnya, barisan Kabinet nampaknya kitar semula atau PN 2.0, ‘wish list’ saya dan rakyat tak tercapai. Keluarga besar Malaysia kekal tertanya-tanya apakah badi Sheraton masih menghantui Ismail?,” soalnya dalam satu respon segeranya selepas Ismail mengumumkan senarai anggota Kabinetnya.

Kabinet Ismail mempunyai 69 Jemaah Menteri dengan 31 menteri dan 38 timbalan menteri iaitu mempunyai sais yang sama dengan kerajaan PN pimpinan Tan Sri Mahiaddin Yassin dan lebih teruknya ia kini dikawal oleh Umno, parti yang ditolak oleh rakyat dalam PRU 14 lalu.

Kini, seorang ahli parlimen pembangkang dari AMANAH, Mohamed Hanipa Maidin mempersoalkan, apakah perjanjian kerjasama antara pembangkang dengan Ismail itu sah.

“Ekoran dari berita di media ini ada soalan yang timbul. Adakah perjanjian kerjasama ini adalah sah dan boleh dikuatkuasakan?.

“Pada hemat saya, perjanjian kerjasama ini meskipun telah di “reduced into writing”, ia hanya sekadar persefahaman longgar antara beberapa pemain politik dan TIDAK berstatus sebuah kontrak yang SAH, MUKTAMAD dan ia juga TIDAK BOLEH DIKUATKUASAKAN.

“Dengan kata lain, ia tidak boleh mengikat mana-mana pihak dari sudut perundangan. Lagipun tidak jelas adakah perjanjian itu sekiranya boleh mengikat sekalipun, adakah ia juga mengikat parti- parti pembangkang di luar PH?” kata beliau dalam satu tulisannya di Malaysia Dateline.