Malaysia Dateline

Kalau kawan sendiri gagal dipertahankan, macamana mahu jadi PM berjaya?

Datuk Seri Ismail Sabri bolehlah dikira calon perdana menteri yang lemah selepas gagal mempertahankan rakan-rakan dan penyokong beliau dalam pemilihan calon Barisan Nasional.

Ini berikutan, tiga panglima perang beliau yang menjadi menteri ketika beliau menjadi perdana menteri gagal mendapat sebarang kerusi.

“Kalau rakan dan menteri yang dipilih sendiri gagal dipertahankan bagaimana kita mahu memberikan kepercayaan kepada dia untuk mempertahankan negara.

“Bagi mereka, Ismail adalah seorang pemimpin yang lembik.

“Inilah sentimen di kalangan orang ramai sekarang,” kata seorang pemerhati politik kepada Malaysia Dateline.

Tiga menteri di bawah Ismail Sabri yang menjadi penyokong kuat Ismail gagal dipilih sebagai calon Barisan Nasional apabila Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan calon BN baru-baru ini.

Tiga menteri, Annuar Musa, Shahidan Kassim dan Noh Omar, yang mendapat kepercayaan Ismail Sabri tetapi gagal dipertahankan oleh beliau.

Yang paling ketara adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa yang gagal mendapat tempat di Ketereh.

Annuar mendapat kepercayaan Ismail bagi melaksanakan kempen beliau melawan inflasi apabila dilantik sebagai Pengerusi JK Jihad Melawan Kenaikan Harga Barang, isu utama yang dihalakan kepada kerajaan beliau.

Turut tidak mendapat perkenan sebagai calon BN kali ini adalah Datuk Seri Shahidan Kassim, bekas Menteri Wilayah Persekutuan.

Shahidan membuat langkah drastik dengan menutup Bilik Gerakan BN di Arau dan kemudiannya menjadi calon Pas atas nama Perikatan Nasional di Arau.

Datuk Zahidi Zainul Abidin Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia di bawah kabinet Ismail Sabri juga tidak mendapat tempat.

Beliau yang gagal mempertahankan kerusinya di Padang Besar sebagai calon BN bertindak menjadi calon bebas dalam pilihan raya kali ini.

Langkah memancung Datuk Seri Noh Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dari menjadi calon bukan sahaja menyukarkan BN di Tanjung Karang bahkan negeri Selangor kerana beliau adalah Pengerusi Umno di negeri itu.

Selain itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin terpaksa bertanding di kerusi sukar, Sungai Buluh selepas kerusi beliau sejak sekian lama Rembau diambil oleh Timbalan Presiden Umno, Datuk Muhamad Hassan.

UMNO UTAMA PENGUASAAN PARTI DARI PRU

Bagi Dr Mazlan Ali, pensyarah kanan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), tindakan yang dibuat oleh Zahid adalah kerana Umno lebih mengutamakan penguasaan parti berbanding dengan kemenangan dalam pilihan raya.

“Sebab itu dia sanggup kalah dalam pilihan raya dengan mengenepikan saingan beliau tetapi menguasai parti,” kata beliau mengulas tindakan Zahid memancung para penyokong Ismail Sabri.

Zahid juga, katanya, menunjukkan presiden yang menguasai Umno bukan naib presiden hatta dia adalah perdana menteri.

Menurut Mazlan, bagi Umno, mereka perlu menunjukkan parti menguasai bukan pihak-pihak lain.

“Sebab itu, mana-mana pihak yang cuba melanggar keputusan parti akan mendapat akibatnya,” kata beliau yang memuji Zahid sebagai seorang pemimpin yang tegas.

Bagi rakan beliau, Dr Abdul Latif Ibrahim, Ismail Sabri tidak akan menjadi perdana menteri semula dalam keadaan beliau kesaorangan dan semua rakan-rakan beliau telah dipancung.

“Pilihan raya ini bagi Umno adalah untuk menyelamatkan kluster mahkamah dari masuk penjara. Sebab itulah pilihan raya diadakan walaupun musim tengkujuh,” kata beliau kepada Malaysia Dateline.

BACA JUGA Kenapa tolak debat sedangkan ia juga untuk berkempen? Jika ada wawasan terima sahaja pelawaan debat ini JUGA Ini 10 keutamaan Pakatan Harapan pulihkan Malaysia dan bina ekonomi masa hadapan JUGA Akui gemuruh bertanding di Sungai Buloh, hari ini Khairy Jamaluddin sah berhadapan 6 saingan